suria

Najib: Rakyat didahulukan dalam pilihan Kabinet

PATTAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihannya dalam mengisi barisan Kabinet barunya mungkin tidak mampu memuaskan hati semua orang memandangkan perkara yang paling utama ialah kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata rakyat mesti merasa gembira dengan Kabinet itu.

"Adalah mustahil untuk memuaskan hati semua orang. Saya pilih untuk memuaskan hati masyarakat awam, paling utama rakyat," katanya ketika ditanya mengenai perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah anggota Umno, termasuk mereka yang menang pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Najib, yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-14, berkata beliau telah menekankan sebelum ini bahawa rakyat mesti didahulukan, diikuti parti dan kerajaan.

"Namun, saya ambil kira kedudukan parti juga. Bukan bermakna mereka diketepikan sepenuhnya...bukan begitu," katanya.

Ketika ditanya bila beliau akan memulakan lawatan ke negara Asean setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lepas, Najib berkata sebelum melakukan lawatan seumpama itu, beliau mahu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.

Najib berkata memandangkan beliau telah menamakan anggota Kabinetnya, beliau akan menjelaskan secara terperinci kepada barisan menterinya mengenai penekanan dan fokus Kabinet baru itu.

"Saya perlu memberikan mereka hala tuju dan apa yang diharapkan," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau kemudiannya akan melihat struktur parti dari sudut politik dan kedudukan kerajaan.

Beliau berkata apabila semuanya berjalan dengan baik, beliau akan memulakan lawatannya ke negara-negara Asean. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain