suria

Polis siasat dakwaan pelajar buta terkena objek ketika rusuhan

KOTA BAHARU: Polis Kelantan akan menyiasat secara menyeluruh dakwaan pelajar yang buta mata kanannya terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, pelajar jurusan Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini.

"Pihak polis juga telah mengambil kenyataan daripada pelajar itu sendiri yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku pada malam kejadian," katanya kepada Bernama, hari ini.

Abdul Rahim berkata polis perlu memastikan terlebih dahulu sama ada objek yang mencederakan mata pelajar itu adalah gas pemedih mata yang dilepaskan anggota polis atau mungkin benda lain termasuk mercun yang dilemparkan perusuh.

"Jika siasatan mendapati apa yang didakwa itu benar, terserahlah kepada pelajar itu untuk mengambil apaapa tindakan susulan, itu hak dialah," katanya. Katanya semua kes yang melibatkan rusuhan pada malam kejadian kini disiasat di bawah beberapa seksyen iaitu Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.

Ketika kejadian, Muhammad Huzaifah yang berasal dari Kampung Pasir Tok Kambing, Kedai Lalat, dekat sini, sedang mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein.

Akibat terkena objek berkenaan, mata kanan Muhammad Huzaifah, gagal dipulihkan walaupun menjalani pembedahan lebih empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejurus selepas kejadian.

Dalam perlawanan bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan kelmarin, beberapa kenderaan termasuk trak polis diterbalik dan dibakar sekumpulan penyokong Kelantan yang kecewa dengan kekalahan 01 skuad mereka kepada pasukan pelawat.

Polis Kelantan telah menahan tiga perusuh terlibat terdiri daripada seorang guru sekolah rendah berumur 30an dan dua pelajar serta telah mengenal pasti 28 orang lagi, kebanyakannya remaja untuk membantu siasatan berhubung rusuhan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain