suria

Hukuman terhadap kerani akaun ditangguhkan

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan hukuman kepada 14 April ini terhadap seorang kerani akaun yang mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM328,810.19.

Hakim Rozina Ayob membuat penangguhan itu setelah tertuduh Nurul Huda Ahmad, 30, memberitahu mahkamah bahawa dia telah membayar kembali RM5,000 kepada bekas syarikatnya iaitu firma Tetuan Hafidz & Co sebagai ganti rugi terhadap apa yang telah dilakukannya.

Nurul Huda bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa bukti bayaran iaitu resit yang dikeluarkan firma guaman itu tidak dibawa bersama ke mahkamah hari ini.

Terdahulu, peguam bela Zulkifli Ramli, yang mewakili Nurul Huda dalam rayuannya memohon agar diringankan hukuman, berkata anak guamnya kini terpaksa bekerja sebagai pencuci mangkuk dengan gaji RM30 sehari bagi menyara keluarga sejak suaminya dijatuhkan hukuman 30 bulan penjara terhadap empat tuduhan sama.

"Ini adalah kesalahannya yang pertama. Beliau (Nurul Huda) kini telah pun insaf akan kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serta menjadi insan yang berguna kepada masyarakat," kata Zulkifli. Rozina bagaimanapun mempersoalkan rayuan itu dengan bertanya kepada Zulkifli apakah yang telah dilakukan Nurul Huda untuk membuktikan bahawa dia benarbenar insaf.

"Insaf, semua orang boleh kata insaf tetapi saya nak tanya ada atau tidak dia (Nurul Huda) tunjukkan bahawa dia telah insaf," kata Rozina.

Nurul Huda kemudian menjawab pertanyaan itu dengan menyatakan bahawa dia telah membayar ganti rugi sebanyak RM5,000 kepada bekas syarikatnya itu.

Rozina kemudian memberi nasihat kepada Nurul Huda supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan dengan mengingatkan tentang persoalan halal dan haram.

"Saya mahu kamu tidak ulangi kesalahan ini lagi. Ingat duit haram sampai bilabila pun takkan pernah jadi halal, dan hanya Allah sahaja yang boleh maafkan kesalahan kamu.

Nurul Huda didakwa menggunakan wang hasil pengubahan wang haram itu dengan memindahkan wang ke akaun suaminya dan ke akaun rakannya Asfanizan Abdul Razak, 30, sebagai deposit pembelian dan pembayaran pengubahsuaian hartanah, bagi pembayaran penyelesaian penuh dua buah kereta serta juga untuk bayaran caj penggunaan tenaga elektrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 20 Dis 2005 dan 10 Okt 2007 di Affin Bank Berhad cawangan Kelana Jaya.

Pendakwaan dijalankan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid dan Maziah Abu. BERNAMA

Artikel Lain