suria

Kabinet: Najib hadap Agong, Umno dijangka barisi muka baru

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini bagi mendapatkan perkenan pembentukan barisan Kabinet baru - yang bakal mencerminkan wawasan dan dasar kepimpinan Perdana Menteri keenam itu.

Beliau yang dilantik sebagai Perdana Menteri Jumaat lalu dijangka tiba di Istana Terengganu di ibu negara pukul 11 pagi ini.

Susulan pertemuan itu Najib akan mengumumkan barisan Kabinet baru pukul 3 petang ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan petang semalam, majlis angkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia oleh menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri akan diadakan pada 9.30 pagi esok di Istana Negara.

Pembentukan barisan Kabinet baru itu adalah lanjutan daripada pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Sejak Isnin lalu Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan kesemua pemimpin komponen Barisan Nasional (BN).

Di sebalik banyak spekulasi Umno yang selesai mengadakan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan dua minggu lalu dijangka dibarisi ramai muka baru.

Beberapa menteri dijangka digugurkan termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang telah meletakkan jawatan setelah gagal dalam pemilihan parti.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal meneruskan tradisi dengan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setakat semalam beliau telah mengadakan pertemuan kedua dengan Najib selepas yang pertama Sabtu lalu.

Spekulasi mengatakan Muhyiddin yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kemungkinan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Tiga Naib Presiden Umno yang baru iaitu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Shafie Apdal juga menjadi tumpuan dengan dijangka dilantik menerajui kementerian lebih kanan.

Difahamkan pembentukan Kabinet ini tidak banyak memperlihatkan perubahan di pihak parti komponen BN yang lain.

Perwakilan Sabah dan Sarawak dijangka ditambah kali ini.

Kabinet baru ini juga dijangka membawa banyak muka muda dengan menggabungkan beberapa kementerian dalam usaha mengecilkan saiz Kabinet.

Artikel Lain