suria

Manikumar angkat sumpah sebagai Exco Isnin ini

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Selambau yang baru S. Manikumar akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Isnin ini di Istana Anak Bukit, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata Manikumar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN Datuk Dr Abd Isa Ismail di Dewan Undangan Negeri pada 19 April ini.

"Saya telah menghadap Tuanku pagi tadi dan Baginda telah perkenan tentang pelantikan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Menurutnya Manikumar, 35 akan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Koperasi, Perpaduan Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India yang pernah dipegang oleh penyandangnya V. Arumugam apabila melepaskan jawatan berkenaan pada 8 Feb lalu.

Pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau semalam, Manikumar yang menang 12,632 undi dengan majoriti 2,403 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk S. Ganesan yang memperoleh 12,632 undi dan 13 calon Bebas.

Genesan, 49 mendapat 10,229 undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain