suria

Kes hina Sultan Perak dibicara mulai 9 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 hingga 13 November depan untuk perbicaraan kes seorang lelaki yang menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radhi Abas memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah meminda ketiga-tiga pertuduhan terhadap Muslim Ahmad, 54, hari ini tetapi tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi tuduhan pindaan pertama, Muslim, yang bekerja sendiri didakwa menghantar komen yang jelek sifatnya di laman web http://www.perak.gov.my dengan niat menyakiti hati orang lain pada 7 Feb lalu, pukul 2.21 petang.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan yang sama pada hari yang sama, pukul 2.27 petang dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan yang sama pada 8 Feb lalu pukul 4.39 petang.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.

Muslim yang diwakili peguam K. Periasamy didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998(Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain