suria

Kabinet: Najib jumpa komponen BN buat hari ketiga

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini terus dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), dipercayai bagi membincangkan mengenai pembentukan Kabinet baru.

Sejak pagi tadi beberapa pemimpin BN dilihat mengunjungi pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Difahamkan Najib akan menemui lapan lagi pemimpin parti komponen secara berperingkat hari ini yang masuk hari ketiga.

Pemimpin pertama yang kelihatan meninggalkan pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 11.35 pagi tadi ialah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat itu, Taib berkata, beliau telah. menyerahkan nama bagi Sarawak untuk dipertimbangkan menganggotai Kabinet Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Senarai nama masih sama sepertimana senarai yang dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri dulu (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.

Jelasnya beliau menyerahkan kepada Najib untuk mempertimbangkan senarai nama yang dikemukakan itu.

Taib berkata beliau juga memberikan pandangannya kepada Najib tetapi menyerahkan kepada perdana menteri baru itu untuk menterjemahkannya (pandangan beliau).

"Barangkali mungkin ada "kejutan mengembirakan" untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Jumaat lalu, beliau telah mengadakan siri perbincangkan dengan pemimpin bermula kelmarin.

Sementara itu Bernama melaporkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang turut mengunjungi Najib berkata beliau turut mengesyorkan senarai nama daripada MIC untuk dipertimbangkan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai berapa, siapa dan apakah terdapat muka-muka baru di dalam senarai yang diserahkan kepada Perdana Menteri itu.

Ditanya mengenai harapannya terhadap barisan kabinet baru yang bakal diumumkan Najib kelak, beliau berkata: "harapan saya yang baiklah".

Samy turut menyerahkan kepada kebijaksanaan Najib sama ada akan menambah atau tidak wakil dari MIC dalam barisan kabinet baru kali ini.

Barisan kabinet sedia ada terdapat 32 anggota kabinet dengan 27 kementerian dan hampir dua pertiga daripadanya adalah pelantikan daripada Umno, komponen parti terbesar dalam 13 komponen parti pemerintah Barisan Nasional.

Yang lain ialah empat daripada MCA dan masing-masing seorang daripada MIC, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO).

Kira-kira pukul 11.15 pagi, kenderaan yang membawa Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan dilihat memasuki bangunan pejabat Perdana Menteri.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Dr Chan berkata beliau gembira dengan pertemuan dan perbincangan yang diadakan dengan Najib.

Sepertimana Presiden MIC, beliau turut menaruh harapan yang baik terhadap barisan kabinet yang bakal diumumkan Najib nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain