suria

Guan Eng akan putuskan mengenai Timbalan Ketua Menteri 1

PULAU PINANG: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerahkan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk membuat keputusan mengenai kedudukan Timbalan Ketua Menteri 1.

Lim berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat majlis itu pagi ini.

"Pelantikan ini adalah kuasa mutlak Ketua Menteri yang akan berunding dengan semua pihak relevan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri dan anggota majlis mesyuarat negeri akan berkuat-kuasa hari ini tetapi beliau akan kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Pada 2 Mac, Mohammad Fairus menyerahkan surat peletakan jawatan berkuat-kuasa hari ini.

Terdahulu, pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau akan mengadakan mesyuarat parti untuk membincangkan calon bagi jawatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri hari ini mengambil balik kenderaan rasmi yang digunakan Fairus berikutan peletakan jawatannya berkuat-kuasa hari ini.

Kereta jenis Mercedes Benz S320 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P1, yang ditinggalkan di luar pagar rumah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu, diambil oleh kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada kira-kira pukul 3.10 petang ini.

Sebelum ini, kereta itu berada di perkarangan rumah Fairus di Taman Guar Perahu tetapi tinjauan di situ hari ini mendapati kereta berkenaan telah diletak di luar pagar rumah itu.

Bagaimanapun, rumah itu berkunci dan kelihatan kosong ketika dikunjungi pegawai Unit Protokol Pejabat SUK, Azizan Hassan dan beberapa rakannya.

Timbalan SUK, Muhammad Yusoff Wazir ketika dihubungi Bernama, berkata kenderaan itu diambil semula kerana Fairus hilang kelayakan untuk menggunakannya setelah beliau meletak jawatan.

"Difahamkan kereta itu diletakkan di luar rumah itu pagi ini dan ia akan disimpan di tempat menyimpan kenderaan kerajaan di Batu Gantung.

"Kereta itu akan diserah kepada Timbalan Ketua Menteri 1 yang baru kelak untuk kegunaan rasmi beliau," katanya.

Muhammad Yusoff berkata kakitangan di pejabatnya telah menghubungi Fairus untuk memaklumkan mengenai pengambilan semula kereta itu.

Sementara itu, Azizan berkata kereta itu berada dalam keadaan baik walaupun "tersadai" di halaman rumah Mohammad Fairus sejak beberapa minggu lepas dan semua barangan peribadi beliau telah dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kunci kedua untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin kereta itu.

"Setiap kenderaan milik kerajaan negeri mempunyai dua set kunci, iaitu satu set di simpan di pejabat SUK dan dan satu lagi di pegang pemiliknya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain