suria

Polis tahan wanita Myanmar , rampas dadah bernilai RM157,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua wanita warga Myanmar dan merampas dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM157,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Segar, Cheras di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata keduadua wanita berumur 38 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang.

Polis merampas plastik putih yang di dalamnya mengandungi tujuh bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 3,150 gram daripada keduadua wanita itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Kang berkata susulan penahanan wanita itu, polis kemudian menahan dua lelaki warga tempatan yang berumur 29 dan 24 tahun di dalam sebuah kereta Camry di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat membeli belah taman berkenaan.

Hasil penahanan keempatempat mereka, polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM2,500 dan barang kemas selain kereta Toyota Camry berkenaan.

Kang berkata siasatan polis mendapati wanita berumur 30 tahun terbabit mempunyai pas palsu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala suspek lelaki yang berumur 29 tahun itu mempunyai rekod berkaitan kes dadah dan rakannya pula mempunyai satu rekod jenayah samun.

Polis masih menyiasat punca sebenar bekalan dadah itu dan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis menahan enam orang pelajar kolej swasta dari Afrika dan seorang wanita tempatan di Puchong kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan melalui internet.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata sindiket yang didalangi warga asing itu menghantar emel menawarkan pelbagai pekerjaan yang tidak wujud menggunakan kepala surat sebuah syarikat telekomunikasi dan menjadikan warga asing dari Pakistan, India, Dubai, United Kingdom, dan Filipina sebagai mangsa.

"Sindiket ini menggunakan surat daripada Digi sebagai umpan untuk meyakinkan pemohon kerja (warga asing) tentang kewujudan kerja yang dipohon.

"Mangsa yang telah berjaya diumpan akan dikenakan pelbagai bayaran yang perlu dijelaskan seperti wang proses, imigresen, penginapan dan pengangkutan yang dianggarkan berjumlah RM3,500," menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu syarikat telekomunikasi berkenaan berjaya mengesan kegiatan sindiket itu selepas menerima 30 pertanyaan dari luar negara mengenai kekosongan jawatan di syarikat itu.

Wanita tempatan yang ditangkap itu adalah teman salah seorang anggota sindiket berkenaan dan menggunakan akaun banknya untuk menerima kiriman wang daripada pemohon dari luar negara. BERNAMA

Artikel Lain