suria

ISA tidak diguna sewenang-wenangnya - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pentadbirannya tidak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara sewenang-wenangnya tetapi akan mengutamakan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan awam.

Perdana Menteri berkata akta itu sedang dikaji untuk memastikan ia mengandungi beberapa peruntukan yang menegakkan prinsipprinsip berkenaan.

"Beberapa peruntukan (ISA) akan mencerminkan kehendak kita (kerajaan) untuk menegakkan kebebasan awam dan ada 'check and balance' supaya tidak mudah ada penggunaan ISA secara arbitrari (sewenang-wenang) atau mengikut kehendak pihak berkuasa tanpa melihat kepada hak asasi dan kebebasan awam rakyat Malaysia," katanya kepada sekumpulan wartawan dari Indonesia di pejabatnya di sini hari ini.

Wakil-wakil media Indonesia itu, yang berada di ibu negara bagi menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Kajai di sini malam tadi, merupakan kumpulan wartawan asing pertama menemubual Najib selepas beliau menjadi Perdana Menteri pada 3 April lepas.

Najib berkata keputusannya membebaskan 13 tahanan ISA baru-baru ini merupakan suatu isyarat kerajaan yang mementingkan hak asasi dan kebebasan awam dalam masyarakat demokrasi yang moden, matang dan bertamadun.

Semasa temubual itu Perdana Menteri turut ditanya mengenai gaya pentadbiran beliau, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, keselamatan serantau dan kebebasan akhbar di Malaysia serta peranan dua Perdana Menteri sebelumnya.

Bercakap mengenai slogan "One Malaysia. People First. Performance Now" (Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan) yang diumumnya sebaik menjadi Perdana Menteri, Najib berkata ia merupakan falsafah yang memayungi pentadbiran pimpinan beliau.

Katanya ia menekankan apa yang harus dilakukan sekarang bagi memacu negara ke arah mencapai hasrat dan visi yang ditetapkan oleh dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi agar rakyat Malaysia menjadi bangsa "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang", dan Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Malaysia menjadi negara maju menerusi "Wawasan 2020".

"(Ia adalah) destinasi kita tapi sebelum sampai kepada negara maju Wawasan 2020, saya tekankan apa yang perlu kita lakukan sekarang...Apa prosesnya? Unity (bersatu), People First dan Performance Now," katanya.

Menurutnya konsep "One Malaysia" menekankan rasa saling hormat dan percaya antara semua kumpulan etnik di Malaysia yang beliau sifatkan sebagai tiang seri kepada proses perpaduan nasional. Katanya usaha itu mesti dilakukan dengan penuh kesedaran di peringkat kerajaan dan masyarakat dalam semua program yang dilaksanakan.

"Konsep ini mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan, program kerajaan, umpamanya peruntukan untuk sekolah Cina, untuk sekolah Tamil, diberi secara terus kepada lembaga sekolah.

"Tidak ada kelompok atau kumpulan etnik yang harus rasa tertinggal dari segi dasar dan program kerajaan," kata Perdana Menteri.

Najib berkata golongan Bumiputera juga harus dibantu kerana mereka masih ketinggalan tetapi usaha itu haruslah dilakukan dengan adil, baik kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Mengenai "People First", Najib berkata kerajaan pimpinan beliau mestilah prihatin dan berada dekat di hati rakyat, bukannya kerajaan elit yang dilihat sebagai memihak kepada syarikat besar dan mengamalkan kronisme atau nepotisme.

"Sebab itu saya lakukan walkabout (lawatan turun padang Sabtu lepas) di kawasan Melayu, Cina dan India. Saya mahu tunjuk bahawa pemimpin mesti dekat dengan rakyat. Saya tidak rasa kekok untuk berjumpa rakyat biasa," katanya.

Najib juga berkata gaya pentadbirannya akan menekankan aspek "Performance Now" supaya rakyat dapat melihat sesuatu yang dirancang benarbenar berlaku.

"Saya akan tekankan supaya tindakan disegerakan sebab rakyat mahu melihat sesuatu itu berlaku. Semua perlu dibuat dengan cepat, pantas dan boleh dilihat oleh rakyat.

"Saya tekankan pencapaian bukan sahaja penghasilan. Ada perbezaan antara penghasilan dan pencapaian.

"Ini akan merupakan stail pentadbiran baru saya...bahawa kita akan memberi keutamaan kepada kepimpinan yang berasaskan pencapaian," katanya.

Najib juga berkata beliau mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat serta akan berlaku adil dan tidak mahu dilihat sebagai Perdana Menteri memihak mana-mana suku kaum.

Menyentuh persoalan kebebasan dalam sistem demokrasi, Perdana Menteri berkata Malaysia bersikap liberal tetapi mengamalkan kebebasan secara bertanggungjawab, kerana jika tidak, ia akan mencetuskan anarki.

Ditanya mengenai kebebasan akhbar pula, Najib yang menjadi tetamu kehormat pada Majlis Anugerah Kewartawan Kajai malam tadi, berkata beliau mahu media memainkan peranan menegur kerajaan secara bertanggungjawab agar pemimpin tidak angkuh dan menyalahgunakan kuasa mereka.

"Kalau pemimpin kerajaan tidak boleh ditegur sama sekali, tidak boleh dikritik sama sekali, kami seolah-olah merasakan kami ini kebal, dan kekebalan itu merupakan suatu yang tidak baik sebab, mungkin kita akan salah guna kuasa, mungkin kita akan terlalu angkuh dengan kedudukan," lata Perdana Menteri.

Katanya beliau berharap dapat mewujudkan kerjasama yang baik dengan media agar saling memahami peranan masing-masing.

"Pihak akhbar mesti ada tanggungjawab, jangan buat serangan peribadi yang tidak berasas dan menggunakan khabar angin sebagai bahan berita seolah-olah berita itu sahih.

"Akhbar yang bertanggungjawab mesti menjadi sebahagian penting dalam amalan demokrasi yang sihat," katanya.

Mengenai Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah, Najib berkata beliau yakin kedua-dua bekas Perdana Menteri itu akan menjadi penyokong kuat kepada beliau sebagai Perdana Menteri yang baru.

Sambil menyatakan beliau mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya, Najib berkata beliau berharap kedua-dua negarawan itu dapat menggunakan kekuatan masing-masing dalam membantu mengukuhkan Umno dan Barisan Nasional.

"Saya akan cuba, bukan mudah...(tetapi) saya (juga) ada keistimewaan. Saya ada hubungan baik dan akrab dengan kedua-duanya. Saya fikir penting bagi bekas Perdana Menteri Malaysia menyokong dan mendokong Perdana Menteri sekarang untuk meneruskan perjuangan," katanya.

Wartawan-wartawan itu, dari Jakarta Post, Kompas, Sinar Harapan, Republika, Media Indonesia, agensi berita Antara, majalah Gatra dan stesen televisyen RCTI, kemudian mengambil kesempatan bergambar dengan Najib serta mendapatkan autografnya pada satu buku mengenai beliau. BERNAMA

Artikel Lain