suria

Saman tiga wakil rakyat Perak akan diputuskan Rabu ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini akan memutuskan Rabu ini sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk menentukan isu perlembagaan berhubung pihak yang berhak dan berkuasa untuk mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan mengenai bantahan awal oleh peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Speaker DUN Perak V. Sivakumar, yang mencabar supaya perkara itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Empat lagi hakim dalam panel yang bersidang hari ini terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Ab Rahman dan Datuk S. Augustine Paul serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk James Foong.

Sivakumar dan ahli DUN bebas Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang mengemukakan saman tersebut tidak hadir.

Tiga wakil rakyat bebas itu telah memohon supaya saman itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Perak 1957.

Sulaiman membantah atas alasan bahawa mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangani isu berhubung Perkara 63 Perlembagaan Perak kerana ia merupakan perundangan sebelum Merdeka.

Perkara 63 Perlembagaan Perak berbunyi: "Tanpa menjejaskan apa-apa bidang kuasa rayuan atau penyemakan Mahkamah Besar, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Besar boleh, atas permohonan salah satu pihak dalam prosiding itu, memutuskan soal itu dan sama ada membereskan kes itu atau menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu."

Dalam penghujahan selama sejam mengenai sejarah badan kehakiman Malaysia bertarikh sejak 1948, Sulaiman berkata Perkara 63 berkuat-kuasa sebelum 31 Ogos, 1957 dan ayat "Mahkamah Besar" dalam artikel itu dirujuk kepada dua mahkamah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan seperti ditubuhkan pada 1948 di mana Mahkamah Persekutuan hanya ditubuhkan pada September 1963.

Katanya walaupun ayat "Mahkamah Besar" dalam Perkara 63 kemudian dipinda kepada "Mahkamah Persekutuan" pada 1997, Perkara 63 Perlembagaan Perak tidak diperuntukkan untuk membenarkan pemohon merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan memberi tiga bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan bidang kuasa rayuan, perunding dan bidang kuasa lain yang mungkin diperuntukkan oleh undangundang persekutuan. Perlembagaan Perak tidak boleh menjadi undang-undang persekutuan.

"Hanya cara untuk menafsirkan Perkara 63 seiring dengan Artikel 162 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menterjemahkan ayat 'Mahkamah Besar' sebagai 'Mahkamah Tinggi'," kata Sulaiman.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang bertindak sebagai pencelah dalam perbicaraan itu, mengemukakan bahawa Perkara 63 itu sah dan kesahihan bidang kuasa diperuntukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan tersebut.

"Ianya adalah elok dan sesuai bagi Mahkamah Persekutuan untuk menentukan ianya memiliki bidang kuasa untuk mendengar permohonan ini di bawah Perkara 63," katanya.

Peguam utama dalam tiga wakil rakyat tersebut, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mengambil pendirian sama seperti Peguam Negara, berkata Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat tafsiran bagi memutuskan isu-isu perlembagaan.

Pada 16 Mac lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim merujuk saman yang difailkan oleh ketiga-tiga wakil rakyat itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan lima persoalan perlembagaan kesahihan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh dan sama ada Speaker DUN atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa mutlak menentukan sesuatu kerusi DUN itu kosong atau sebaliknya.

Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee telah mengemukakan saman terhadap Sivakumar kerana mengisytiharkan kerusi mereka itu kosong.

Terdahulu itu, SPR berkata kerusi tersebut tidak kosong. BERNAMA

Artikel Lain