suria

Kengadharan kembali bertugas sebagai peguam

KUALA LUMPUR: Peguam pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), R. Kengadharan yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam akan mula menjalankan tugasnya semula sebagai peguam hari ini.

Isterinya M. Kalaivani berkata suaminya yang pulang ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang kelihatan sihat dan ceria.

"Esok kami sekeluarga akan pergi ke kuil dan Kengadharan akan menyambung tugasnya sebelum ini sebagai peguam di firma guamannya sendiri Kengadharan & Co yang terletak di Petaling Jaya.

"Kami sekeluarga juga sempat melawat ibu bapa Kengadharan di Kelana Jaya tadi dan mereka semua gembira dan bersyukur dengan pembebasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kalaivani memaklumkan suaminya itu sudah tidur disebabkan kepenatan.

Beliau berkata Kengadharan turut mengucapkan terima kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membebaskannya daripada tahanan ISA.

Jumaat, Perdana Menteri dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri baru, mengumumkan pembebasan serta-merta 13 tahanan ISA.

Selain Kengadharan, seorang lagi peguam Hindraf yang dibebaskan ialah V.Ganabatirau dan mereka ditahan di bawah akta ISA sejak 13 Dis 2007.

Artikel Lain