suria

Jurujual bebas tuduhan edar 113 kg ganja

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual produk kecantikan hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan mengedar ganja seberat 113 kg pada 2003.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim membebaskan Syed Ahmad Sharif Syed Abdul Rahim, 34, berasal dari Alor Setar, setelah mahkamah mendapati saksi utama, seorang pegawai polis dari jabatan narkotik yang mengetuai serbuan, telah gagal mengenal pasti siapa sebenar pemandu van yang membawa dadah itu.

Pada 17 Mac lepas, mahkamah yang sama membebaskan rakan Syed Ahmad Sharif, Mohd Sabri Abdul Ghani, 41, juga berasal dari Alor Setar tanpa dia diminta untuk membela diri kerana dia bukan pemilik van berkenaan.

Kedua-duanya menghadapi tuduhan mengedar 123 ketul mampat ganja seberat 113.6 kg di hadapan sebuah rumah di Jalan 4, Taman Greenwood, Gombak, pada 5.30 pagi 3 Nov 2003.

Zaharah dalam penghakimannya berkata pegawai polis berkenaan hanya memberikan keterangan mengenai warna pakaian yang dipakai oleh kedua-dua tertuduh ketika mengekori mereka dan semasa membuat serbuan tanpa memberikan butiran lebih lanjut seperti rupa ataupun maklumat lain dalam mengenal pasti mereka secara positif.

Peguam Dev Kumaraendran mewakili Syed Ahmad Sharif manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali. BERNAMA

Artikel Lain