suria

Dua parah, lima cedera ditimpa pokok

KULIM: Dua parah manakala lima yang lain cedera apabila ranting sebuah pokok besar berukuran sepuluh pemeluk menimpa mereka dalam kejadian ribut dan hujan lebat di beberapa lokasi di daerah Kulim hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, 10 buah gerai makan dan 25 buah rumah juga rosak teruk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh berkata kawasan terbabit adalah Jalan Bukit Awi, Jalan Merdeka, Taman Selasih, Kampung Syed Sheh dan Lunas.

Ketujuh-tujuh mereka yang cedera akibat ditimpa ranting pokok berkenaan telah dihantar ke Hospital Kulim lewat petang ini untuk mendapat rawatan, kata Ghuzlan kepada Bernama.

Mereka yang cedera berada di beberapa buah gerai makan, yang musnah ditimpa pokok dipercayai berumur 150 tahun itu, katanya.

Beliau berkata dalam kejadian itu juga, empat buah rumah mengalami kerosakan teruk di Jalan Bukit Awi.

Ghuzlan berkata di Taman Selasih Fasa 5, lebih 10 buah rumah rosak teruk kerana kebanyakan bumbung rumah berkenaan diterbangkan angin kuat sementara beberapa buah rumah lagi juga rosak sedikit.

Beliau berkata, selain polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulim/Bandar Baharu turut membantu kerja-kerja menyelamat berkenaan.

Pengarah Hospital Kulim, Dr Asmayani Khalid berkata sehingga kini enam lelaki berumur antara 35 hingga 60 tahun termasuk seorang warga emas Tan Bah Liang, 75, yang patah kaki sedang menerima rawatan.

Pegawai JKM Kulim, Rohana Yusof ketika dihubungi berkata seramai 10 anggota JKM Kulim dan bantuan daripada Pejabat Daerah Bandar Baharu ke kawasan terbabit untuk menyiasat.

JKM juga memberi bantuan makanan ke beberapa lokasi perumahan yang terbabit. BERNAMA

Artikel Lain