suria

Pembebasan 13 tahanan ISA keputusan baik - Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambut baik langkah penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan cadangan untuk mengkaji semula undangundang itu.

"Ia keputusan yang baik. Langkah yang baik. Saya pasti sudah tiba masanya untuk mereka dibebaskan, jadi beliau (Najib) membebaskan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara menanam pokok oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Taman Bukit Kiara di sini.

Upacara itu yang diadakan sempena Program Hutan KitaKiara turut dihadiri dua putera dan dua puteri Seri Paduka berdua.

Najib dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada Jumaat lepas mengumumkan pembebasan 13 tahanan itu dan ISA undang-undang yang diwujudkan semasa era pemerintahan British dan kemudiannya digunakan untuk membanteras kegiatan komunis akan dikaji semula.

Terdahulu, Abdullah dan isteri Tun Jeanne Abdullah dilihat tiba di majlis itu dalam kenderaan Mercedes SUV yang dipandu sendiri oleh Abdullah.

Ketika ditanya adakah ianya melanggar protokol untuk beliau memandu sendiri dan bukannya menggunakan khidmat pemandu untuk menghadiri majlis rasmi, Abdullah secara berseloroh berkata: "Saya bawa lagi cekap".

Katanya oleh kerana beliau kini telah bersara, beliau berpeluang untuk memandu sendiri dengan lebih kerap. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain