suria

Najib bebas tentukan barisan Kabinet baru - Rais

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bebas menentukan barisan anggota kabinet beliau yang baru, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais yakin lantikan barisan kabinet yang bakal dibuat Perdana Menteri juga adalah bersih dari segi rekod ataupun dari segi latar belakang yang tidak disenangi.

Beliau berkata anggota kabinet terpilih juga perlu sanggup bekerja keras dalam membina kumpulan dan tenaga sekutu yang baru di samping produktif menzahirkan satu masyarakat Malaysia ulung dan boleh bekerjasama antara satu dengan lain.

"Kita beri seluasluas bidang (ruang) kepada Perdana Menteri baru untuk mengolah pemerintahan masa depan pemerintahan dan pentadbiran beliau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum "The Iron Wall" di ibu negara hari ini.

Mengulas kemasukan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno semalam, Rais berkata beliau akan memberikan sambungan kepada nilai-nilai tradisi Umno yang kukuh iaitu kepimpinan yang berasaskan kepada kebersihan sikap, azam yang kuat dan juga catatan rekod bagi seseorang itu.

Katanya ini juga membawa pengertian bahawa Najib menggunakan khidmat lama dan juga mencari bakat baru kerana gabungan keduadua elemen itu penting untuk pembangunan negara.

Mengenai dakwaan pembangkang mengenai isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menarik balik penggantungan dua organ parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan adalah gimik politik dan bertujuan memancing undi pada pilihan raya kecil, Rais berkata kenyataan itu bukannya baru dan gemar dikeluarkan pembangkang.

"Apabila kita buat perkara yang baik dan tersusun di sisi undangundang dan kemanusiaan mereka mencabulnya dengan cemikan seperti itu.

"Sebenarnya Datuk Seri Najib mengumumkan ini sematamata untuk membuktikan kepada negaranya dan rakyat Malaysia bahawa keadilan dan kesaksamaan itu adalah selaras dengan pemerintahannya dan juga pimpinannya," katanya.

Beliau berkata keputusan Perdana Menteri itu juga (termasuk untuk mengkaji semula ISA bukan sesuatu yang boleh dicemik oleh pembangkang kerana ini juga yang dipohon sebahagian daripada pejuang-pejuang hak asasi manusia.

Rais berkata secara peribadi beliau sangatsangat menilai pengumuman ini dan menegaskan bahawa Najib tidak mengaitkan perkara ini dengan manamana kegiatan politik.

"Jadi terserah kepada masyarakat Malaysia menilai kepimpinannya dan bagaimana beliau hendak membawa negara ini dan rakyatnya ke arah kedudukan undangundang yang saksama dan kami akan membantu Perdana Menteri supaya lunas itu berterusan dan mencapai tahap yang amat kental," katanya.

Mengenai pandangan luar negara terhadap keputusan itu, katanya ia adalah perkara biasa kerana apapun yang memihak kepada kuasa eksekutif yang berlebihan ataupun yang subjektif mereka tidak setuju.

Beliau berkata pindaan juga tidak boleh dibuat semata-mata untuk memberi kepuasan kepada masyarakat antarabangsa sebaliknya mestilah memberi keharmonian dan juga jati diri kepada masyarakat Malaysia.

"Masa kita untuk berubah sudah sampai dan kita perlu melihat reaksi generasi muda, generasi lama dan adunkan nilainilai ini ke arah kenegaraan yang kuat buat masa hadapan.

Rais yakin dua pengumuman yang dibuat itu membuktikan Najib serius mengenai pentadbiran undang-undang dan keamanan di negara ini dan InsyaAllah akan dilihat dan saksikan beberapa pengumuman lain selepas ini.

Forum sehari itu anjuran Coalition of Malaysia NGOs Against Persecution of Palestinians (Complete) dengan kerjasama Kementerian Luar dan Yayasan Salam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain