suria

Kajian semula ISA tampil pendekatan terbaik - Syed Hamid

KUCHING: Langkah mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah untuk mencari pendekatan terbaik dalam menangani soal keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula akta itu agar sejajar dengan perkembangan semasa menyerlahkan sikap kerajaan yang terbuka dan telus dalam menghargai hak kebebasan rakyat.

"Pindaan dan semakan semula ISA adalah untuk mencari pendekatan terbaik menangani soal keselamatan negara dalam konteks yang berbeza dan tidak semestinya dalam konteks yang pernah dilakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di sini semalam.

Syed Hamid berkata dalam proses kajian semula ISA, pandangan serta pendapat semua pihak akan diambil kira sebelum ia dibincangkan dalam kabinet, dan menurutnya peruntukanperuntukan yang boleh disemak dan perlu dipinda akan dikaji.

"Proses (kajian semula) ini mungkin akan mengambil masa kerana ia akan memberi kesan dan implikasi yang mendalam dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Semalam dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah menerajui negara, Najib mengumumkan keputusan untuk mengkaji semula akta yang sekian lama dianggap kontroversi itu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara.

Najib turut mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA.

Merujuk kepada pembebasan itu Syed Hamid berkata, kerajaan memutuskan untuk membebaskan 13 tahanan ISA tersebut selepas berpendapat bahawa mereka tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Penahanan mereka bukan sebagai satu hukuman tetapi satu proses pemulihan. Sekarang, mereka sudah sedar dan insaf bahawa cara dan tindak tanduk mereka yang bertindak melampau dan memperjuangkan sesuatu dengan menggunakan kekerasan adalah tidak sejajar dengan keselamatan negara.

"Setelah melihat peri laku mereka, Perdana Menteri membuat keputusan untuk membebaskan mereka," katanya.

Syed Hamid berkata semua 13 tahanan ISA itu akan dibebaskan esok dan ada antara mereka akan dibebaskan dengan bersyarat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain