suria

BN sangkal dakwaan PAS rancang provokasi menjelang hari undi

TAIPING: Barisan Nasional (BN) menafikan pihaknya telah merancang insiden 'membakar kenderaan polis' bagi mencetuskan suasana tidak senang dan memburuk-burukkan parti lawan sebagaimana didakwa PAS semalam.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin menegaskan BN tidak perlu mengambil tindakan-tindakan sedemikian untuk meraih undi pada pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang.

Pengundian diadakan Selasa ini.

"Orang yang membuang air besar di tepi jalan tidak akan mengaku buang air besar di tepi jalan.

"Jadi bagi saya mereka yang tuduh kami melakukan itu yang sebenarnya membuat strategi itu," kata beliau ketika ditemui di sini.

Terdahulu Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya ada menerima maklumat bahawa satu usaha sedang dilakukan untuk "mengadakan kejadian membakar kereta polis" bagi memburukkan imej parti menjelang hari pengundian.

"Maklumat yang kami terima menunjukkan ada pihak yang sudah mula mengumpulkan kereta polis yang lama dan membakar dekat kawasan sebuah balai di sini (Bukit Gantang)," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan menyebut balai polis dimaksudkan dan sumber maklumat itu.

Maklumat adalah kuat, kata beliau sambil mengakui belum membuat laporan polis lagi.

"Laporan polis belum dibuat tetapi kami mendedahkan lebih awal, minta media melaporkan (dulu) supaya kejadian ini tidak berlaku," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain