suria

Perlu ada komunikasi berkesan - isteri tahanan ISA

TAIPING: Isteri kepada seorang daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan berharap pihak berkuasa dapat mewujudkan satu saluran komunikasi berkesan dalam urusan memaklumkan anggota keluarga tahanan yang akan dibebaskan pada masa depan.

B. Vuvaneswary, isteri kepada peguam Hindraf V. Ganabatirau berkata tidak ada apa yang perlu dirahsiakan daripada anggota keluarga tahanan berhubung perincian ataupun status pembebasan seseorang tahanan itu.

"Dengan menyalurkan maklumat kepada anggota keluarga tahanan, sekurangkurangnya akan memudahkan mereka membuat perancangan yang perlu dan tidak tertanyatanya apakah status sebenar pembebasan anggota keluarga mereka," katanya ketika dihubungi Bernama pada pukul 5.20 petang ini.

Beliau yang merupakan seorang guru, melahirkan rasa sedihnya terhadap pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini bahawa 13 tahanan ISA yang dibebaskan akan hanya keluar dari Kem Tahanan ISA Kamunting Taiping esok sejurus selepas semua proses dokumentasi mengenai kes dan pembebasan mereka disiapkan.

"Saya sedih kerana sehingga kini tidak ada wakil pihak berkuasa yang menghubungi saya bagi memaklumkan status sebenar pembebasan suami saya," katanya.

Beliau berkata ketiadaan komunikasi dari pihak berkuasa menyukarkan pihaknya yang terpaksa bertolak dari Shah Alam pada pukul 3 pagi kerana menjangka Ganabatirau akan dibebaskan pada pagi ini.

Vuvaneswary yang kini berada di rumah anggota keluarga terdekatnya di Sungai Petani, Kedah berkata beliau meninggalkan Kem Tahanan ISA Kamunting pada pukul 3 petang selepas pihak berkuasa kem itu masih gagal menjelaskan sama ada suaminya akan dibebaskan pada hari ini atau tidak.

Ditanya perancangannya esok, Vuvaneswary berkata beliau menjangkakan akan tiba di kem tahanan itu pada pukul 8 pagi esok walaupun pelbagai khabar angin tersebar berhubung pembebasan esok.

"Saya sebenarnya berbelahbahagi kerana ada yang menyatakan Ganabatirau dan tahanan yang lain itu akan dibebaskan di Kamunting esok dan apa pula khabar angin kata kesemua tahanan akan dibebaskan di Bukit Aman. Saya harap pihak berkuasa dapat membuat penjelasan sebenar berhubung pembebasan tahanan esok," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain