suria

Najib bebas 13 tahanan ISA, benar terbit semula 2 akhbar

SERAH TUGAS...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.
SERAH TUGAS...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.
SERAH TUGAS...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan tiga keputusan penting lewat petang semalam - menarik balik penggantungan dua akhbar terbitan Pakatan Rakyat selain membebaskan 13 tahanan ISA dan memulakan langkah mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia merupakan pengumuman awal dibuat oleh beliau pada hari pertama - kira-kira 10 jam selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Daripada 13 orang itu, dua orang merupakan pemimpin Hindraf yang telah diharamkan hujung tahun lalu.

Dua pemimpin Hindraf itu ialah V.S. Ganapathy Rao and R. Kengadhedharan yang ditahan pada 13 Disember 2007.

Tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama, dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006.

Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (Warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.

Anggota Jemaah Islamiah yang dibebaskan ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003.

Mereka dibebaskan berkuat kuasa serta-merta, kata Najib.

Difahamkan mereka akan keluar dari pusat tahanan Kamunting awal pagi esok.

mStar Online dimaklumkan keluarga pemimpin Hindraf akan menemui mereka awal pagi ini.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri telah menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan ISA berkuat kuasa serta-merta.

"Proses kajian semula terhadap ISA akan juga dimulakan," kata beliau dalam perutusan khas sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam semalam.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pukul 10 pagi semalam.

Pada asasnya, menurut Najib, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

"Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

"Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik," katanya.

Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan dibangunkan kerana percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

"Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat," katanya.

Justeru kata Najib, beliau sedar sudah tepat masanya "kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah."

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno memberitahu, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

"Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.

"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia," katanya lagi.

Malah beliau juga mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Artikel Sebelum

Artikel Lain