suria

Lelaki ditemui mati ditikam

RAWANG: Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan tertiarap dengan beberapa kesan kecederaan teruk di kawasan semak berhampiran sebuah lombong tinggal di Bandar Country Homes, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mangsa yang berpakaian lengkap itu ditemui pada pukul 1.52 petang dengan kesan kecederaan tikaman di bahagian leher dan belakang badan serta kesan hentakan benda tumpul di bahagian muka.

Katanya polis percaya mangsa dipercayai dibawa dari tempat lain sebelum dibunuh di kawasan itu oleh lebih daripada seorang suspek.

Bagaimanapun, katanya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut. Ketika ditemui, mangsa memakai seluar jeans, baju T berkolar berwarna hijau berjalur hitam, stokin hitam dan mempunyai tatu pada badan, katanya.

Abdul Rahim berkata berdasarkan keadaan fizikal mayat itu, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun dan berkulit cerah.

Mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain