suria

Bebas tahanan ISA: MP Kapar hargai usaha Najib, Pak Lah

TAIPING: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengalu-alukan pembebasan dua pemimpin Hindraf dan 11 lain daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sambil menyifatkan ia sebagai perkembangan positif, anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat itu berkata, perkara itu telah disentuh dalam pertemuan beliau dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pertengahan bulan lalu.

"Saya telah menemui Abdullah atas undangan beliau dan kami telah membincangkan beberapa isu.

"Antara isu disentuh ialah kemungkinan membebaskan pemimpin yang ditahan di bawah ISA. Beliau telah menyatakan kesediaan ke arah," kata beliau kepada mStar Online hari ini.

Justeru beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pada mulanya kata Manikavasagam, beliau menjangkakan tiga pemimpin Hindraf akan dibebaskan.

"Saya berharap baki pemimpin Hindraf akan dibebaskan dalam waktu terdekat," katanya.

Tambah beliau, hasil pertemuannya dengan Abdullah juga telah dimaklumkan kepada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Lain