suria

Bebas 13 tahanan ISA bukan raih populariti - Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata tindakannya membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)semalam bukan satu usaha untuk meraih populariti.

“Kerajaan punya cara terbaik untuk memenangi hati rakyat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembebasan 13 tahahan ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf semalam.

Ketika ditanya sama ada tindakan tersebut dikatakan bersifat populis, Najib berkata: “Jika kita tidak bebaskan mereka (tahanan ISA), pembangkang akan kata kerajaan menindas."

"Tapi jika kita bebaskan, mereka (pembangkang) kata kita populis. Jadi yang mana satu kita kena pilih?” katanya selepas menerima penyerahan borang keahliaan Dr Mahathir dan keluarganya di Seri Satria hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tindakannya membebaskan tahanan ISA tersebut adalah untuk kepentingan rakyat di negara ini.

Ketika ditanya akan ada tahanan ISA yang akan dibebaskan lagi selepas ini Najib bagaimanapun enggan mengulas.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mahathir ketika ditanya mengenai pembebasan tahanan ISA itu berkata, ia merupakan satu langkah yang amat bijak.

"Saya tidak tahu jika anda masih ingat atau tidak, tetapi perkara pertama yang saya lakukan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ialah membebaskan 21 tahanan ISA. Jadi saya rasa kalau ia bagus pada saya, tentu ia juga bagus pada Datuk Seri Najib," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain