suria

Batal gantung akhbar, bebaskan 13 tahanan ISA dasar keterbukaan Najib

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pembatalan larangan terhadap Harakah dan Suara Keadilan menunjukkan dasar keterbukaan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang baru.

Beliau berkata, dasar yang diamalkan oleh Najib itu menunjukkan beliau tidak menyekat penyebaran maklumat melalui media termasuk media pembangkang.

"Walaupun mereka sebelum ini mengeluarkan artikel-artikel yang tidak bertanggungjawab tetapi beliau (Najib) tidak mahu dilabel sebagai menyekat media pembangkang.

"Kita nak tunjukkan dasar keterbukaan kita kepada semua," katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas mengenai isu pembebasan 13 tahanan ISA dan penarikan semula larangan 2 akhbar pembangkang hari ini.

Syed Hamid memberitahu, penarikan semula larangan dua akhbar pembangkang itu berkuat kuasa selepas pengumuman Najib dalam perutusan sempena penerimaan jawatan Perdana Menteri keenam malam tadi.

"Kita telah pun tulis surat kepada kedua-dua akhbar tersebut jadi penarikan itu berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan pembebasan 13 tahahanan ISA yang turut diumumkan Najib adalah daripada desakan mereka, Syed Hamid menyangkal dakwaan tersebut.

"Perkara itu tidak benar, Datuk Seri Najib membuat keputusan tanpa desakan dariapda mana-maa pihak.

"Sebaliknya, ini selaras dengan dasar kepimpinan barunya yang mahu melihat kepada perpaduan demi pembangunan negara," katanya.

Ditanya bila kesemua tahanan tersebut akan dibebaskan, beliau berkata, pembebasan mereka berkuat kuasa malam tadi.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri keenam malam ini, Najib telah memulakan lembaran baru pentadbirannya dengan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), serta mengkaji semula akta yang sekian lama dianggap kontroversi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain