suria

1,632 kg daging ayam beku bernilai RM11,424 dirampas

PENGKALAN KUBUR: Pasukan Gerakan Marin (PGM) menggagalkan cubaan menyeludup daging ayam beku dari negara jiran bernilai RM11,424 dalam sebuah van di kawasan Pulau Tengkorak, di sini, awal pagi ini.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubur DSP Tan Cheng San berkata dalam serbuan pukul 6 pagi tadi, pihaknya menemui 136 kotak daging ayam beku yang berat setiap satu 12 kilogram dalam van berkenaan yang ditinggalkan di kawasan berhampiran Info Galeri Tengku Anis di sini.

Sebelum itu, katanya, pihaknya mengesan sebuah motosikal, van, lori dan kereta Perodua Kancil memasuki kawasan info galeri tetapi kesemua kenderaan tersebut melarikan diri dari kawasan itu setelah menyedari kehadiran anggota PGM.

"Bagaimanapun intipan selanjutnya, kami berjaya menemui van yang sarat dengan muatan ayam beku ditinggalkan di kawasan itu," katanya.

"Kami percaya individu tertentu bersubahat dengan penyeludup yang menggunakan kawasan info galeri untuk menjalankan kegiatan penyeludupan kerana kawasan berkenaan berpagar dan dijaga," katanya.

Katanya daging ayam beku yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan susulan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain