suria

Shabery: Sebar SMS Najib tak jadi PM kerja 'orang gila'

TAIPING: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, majlis angkat sumpah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang baru akan berlangsung sebagaimana telah dijadualkan pagi esok.

Upacara angkat sumpah itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM pukul 10 pagi esok, kata beliau.

Justeru beliau meminta orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi SMS sejak tengah hari tadi bahawa majlis itu telah dibatalkan dan Najib tidak menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menyifatkan penyebaran khabar angin bahawa Najib tidak akan mengangkat sumpah sebagai "perbuatan orang yang tidak siuman."

Ketika ditemui selepas majlis ceramah kempen pilihan raya di Kg. Cheh Hulu, Bukit Gantang dekat sini, beliau berkata, mereka yang menyebarkan khabar angin sedemikian sebagai golongan yang berada dalam ilusi sepanjang masa.

Majlis pagi esok, kata beliau, akan membuktikan bahawa "detik sejarah 3 April (angkat sumpah) akan menjadi kenyataan" dan realiti sekali lagi akan membuktikan keadaan sebenar dan menafikan khabar angin.

Justeru kata beliau, golongan berkenaan juga tidak dapat menerima pelantikan seorang Perdana Menteri menerusi proses normal yang demoktratik.

Khabar angin hari ini disebarkan sebaik sahaja Abdullah dan Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain