suria

Pengganggur didakwa palsukan dokumen bagi kemudahan talian Telekom

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan menipu dan memalsukan dokumen untuk mendapatkan kemudahan talian Telekom Malaysia Berhad melibatkan lebih RM4 juta ringgit.

Ahmad Faizal Mohd Ali, 35, didakwa telah menipu pegawai dan kakitangan Telekom Malaysia Berhad dengan memperdaya mereka bahawa segala dokumen yang diberikan kepada syarikat itu bagi permohonan talian telefon jenis "direct exchange line" menggunakan nama syarikat Seni Klasik Sdn Bhd dan permohonan talian telefon jenis "Primary Rate Interface" menggunakan nama syarikat Bliss Solution (M) Sdn Bhd adalah benar.

Menurut kertas pertuduhan, dia menggunakan keduadua talian telefon tersebut tanpa menjelaskan bil penggunaannya hingga menyebabkan Telekom Malaysia Berhad kerugian sebanyak RM46,779.75 dan RM4,151,485.60.

Ahmad Faizal didakwa melakukan kesalahan tersebut di premis Telekom Malaysia Berhad, TM Point, No 374, tingkat bawah, Wisma CS Holiday, Jalan Tunku Abdul Rahman, antara 19 Sept 2006 dan 4 Jun 2007 dan di premis Telekom Malaysia Berhad, Business Sales Kula Lumpur, Tingkat 25, Menara Weld, 76 Jalan Raja Chulan antara 8 Mac 2006 dan 9 Jun 2006.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika bersabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda.

Bagi dua lagi pertuduhan, Ahmad Faizal didakwa di masa dan tempat yang sama dengan curangnya menggunakan dokumendokumen yang diberikan kepada Telekom Malaysia Berhad sebagai tulen (sah) padahal mengetahui ia adalah palsu, bagi mendapatkan keduadua talian itu.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau sebatan.

Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan ikat jamin RM505,000 terhadap Ahmad Faizal bagi kesemua pertuduhan tersebut dan sebagai syarat tambahan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Rosbiahanin juga menetapkan Ahmad Faizal melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Dang Wangi setiap dua minggu sekali sehingga selesai perbicaraan dan menetapkan 6 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhaida Zainal Azahar manakala Ahmad Faizal tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain