suria

PAS saingi BN raih pengundi Melayu Bukit Gantang

TAIPING: PAS hari ini mengakui Pakatan Rakyat terpaksa bersaing dengan Barisan Nasional (BN) bagi menawan pengundi-pengundi Melayu di bahagian Parlimen Bukit Gantang.

Bagaimanapun PAS yang menurunkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa sudah menguasai sebahagian besar sokongan pengundi bukan Melayu khususnya daripada kalangan 27 peratus pengundi Cina di bahagian ini.

Pengarah Pilihan Raya Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya tidak terlalu risau berhubung hakikat bahawa partinya kini terpaksa mengekori BN bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu kerana faktor masa masih memihak mereka.

Pengundian berlangsung 7 April ini.

"Kami mengakui bahawa kami masih di belakang dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

"Bagaimanapun kami bekerja keras untuk mengubah keadaan itu.

"Kami yakin bahawa menjelang hari pengundian, kami dapat menjadikan keadaan 50:50 peratus pengundi antara PAS dan BN," kata beliau pada sidang media harian Markas PAS di sini.

"Dari segi pengundi bukan Melayu khususnya kalangan Cina, kami jauh daripada mereka," katanya.

Ketika ditanya laporan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemungkinan membantu BN Isnin ini, Mustafa berkata, kehadirannya tidak akan membawa apa-apa kesan atau pengaruh ke atas PAS.

"Kedatangan Dr. Mahathir tidak merisaukan kami. Beliau tidak membawa kesan ke atas kami atau sokongan rakyat kepada kami," katanya.

Malah kata beliau, kehadiran Dr. Mahathir juga akan mendedahkannya kepada kritikan dan kecaman.

Beliau mendakwa pihaknya telah mengelak daripada menyerang Dr. Mahathir sejak persaraan beliau.

Oleh kerana Dr. Mahathir kembali ke arena politik maka pembangkang khususnya PAS akan kembali melakukan kecaman terhadap bekas Presiden Umno itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain