suria

Lelaki cedera ditembak semasa bergelut dengan perompak

SHAH ALAM: Seorang penjual barangan terpakai cedera selepas terkena dua das tembakan ketika bergelut dengan dua lelaki yang cuba merompaknya di Taman Mutiara di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaludin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi semasa A.Batumalai, 48, sedang berada di tingkat bawah kedai dua tingkat miliknya apabila dua lelaki menyerbu masuk dan mengarah beliau menyerahkan dompetnya.

Beliau berkata Batumalai bagaimanapun cuba melawan sehingga membawa kepada pergelutan, dan dalam keadaan kelam kabut seorang daripada perompak itu terus bertindak melepaskan dua tembakan.

"Satu das tembakan hanya terkena sipi di bahagian tengkuk Batumalai, manakala satu lagi mengenai tangan kanannya. Keduadua perompak yang panik dengan kejadian itu kemudian meluru keluar ke arah motosikal mereka sebelum melarikan diri," katanya.

Noor Azam berkata Batumalai yang cedera sempat mengejar dan membaling kerusi ke arah keduadua lelaki itu tetapi tidak mengenai sasaran.

Beliau berkata isteri Batumalai dan beberapa pekerja lain kemudian segera membawanya ke sebuah klinik berhampiran dan Batumalai kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.

Menurutnya keadaan Batumalai stabil.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain