suria

Polemik larangan tidak sentuh kes Altantuya, Sultan Perak

TAIPING: Polis memberi amaran! PAS pula mahu meneruskan isu berkaitan krisis politik Perak dan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bersama isu-isu menyentuh kepentingan awam.

Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan mereka untuk akur dengan peraturan baru polis.

Syarat baru itu dikuatkuasakan sejak Isnin lalu.

Syarat baru itu dinyatakan sebagai perkara 3.5 dan 3.6.

Syarat 3,5 mengatakan bahawa penceramah tidak boleh menghasut serta mempersoal keputusan yang dibuat oleh Institusi Raja manakala syarat 3.6 pula berkata "tidak boleh sentuh isu Altantuya, isu perkauman dan isu keagamaan".

Dalam pada itu, syarat 3.7 pula berkata, "kehadiran orang ramai adalah tanggungjawab pihak penganjur untuk mengawal mereka, jika kehadiran melimpah hingga di luar kawasan permit yang dipohon, pihak polis akan mengambil tindakan".

Polis mengeluarkan permit berkempen di bawah Akta Polis dan berhak mengenakan syarat berkaitan tempoh kempen dan sebagainya.

Pilihan raya kecil kali ini melibatkan tiga bahagian iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Bagaimanapun tinjauan mStar Online mendapati parti-parti politik yang bertanding terus menggunakan kedua-dua isu berkenaan secara langsung dan tidak langsung ketika berkempen malam tadi.

Pada sidang media petang tadi, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, "kalau langgar syarat (permit kempen), kita boleh ambil tindakan."

"Kalau langgar bermakna satu kesalahan berlaku... jadi, tindakan boleh diambil," kata beliau pada sidang media di Simpang dekat sini.

Sambil mengesahkan sehingga petang ini belum ada kes parti politik melanggar syarat baru yang dikenakan ke atas parti-parti bertanding pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, pihaknya akan menyiasat jika ada pihak yang melanggar peraturan tersebut dan mencadangkan kepada pihak pendakwa raya jika mempunyai kes.

Setakat hari ini 51 permohonan permit telah diterima iaitu 34 daripada Barisan Nasional, 11 (PAS), empat (DAP) dan dua (Parti Keadilan Rakyat), kata beliau.

Daripada 51 permohonan itu, sebanyak 45 telah diluluskan manakala enam yang lain ditolak.

Terdahulu, PAS akan terus membangkitkan isu-isu berkaitan dengan kepentingan awam termasuk krisis politik Perak dan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu walaupun polis mengeluarkan larangan membangkitkan kedua-dua isu berkenaan dalam pilihan raya kecil kali ini.

PAS yang menurunkan calonnya di Bukit Gantang - salah satu pilihan raya kecil serentak - menganggap syarat tambahan itu bertentangan dengan hak kebebasan suara dan membangkitkan isu-isu kepentingan awam.

"Kami sudah memberi arahan kepada jentera supaya terus bangkitkan isu-isu kepentingan awam dengan syarat kita tahu batasan undang-undang.

"Kita juga meminta penceramah kita supaya bertanggungjawab ke atas apa yang dicakap," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak. Asmuni Awi pada sidang media harian hari ini.

Kata Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bukit Gantang ini, "bila dihalang (daripada membangkitkan isu-isu berkaitan) bermakna ada sesuatu yang tidak kena."

Asmuni berkata, pihak berkuasa mempunyai peruntukan undang-undang secukupnya seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan jika ada pihak yang membuat kenyataan-kenyataan yang tidak berasas.

"Saya yakin mereka ambil tindakan ini kerana langkah membangkitkan isu-isu ini (krisis politik dan Altantuya) menguntungkan pihak kami dan mereka (Umno dan Barisan Nasional) merasakan berhadapan dengan masalah.

Mulai kelmarin, parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang tidak dibenar menyentuh keputusan Sultan Perak dan juga kes pembunuhan Altantuya sebagai bahan berkempen.

Bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang, keputusan itu dikeluarkan oleh Polis Taiping kelmarin.

Dengan syarat baru itu, keputusan Sultan Azlan Shah membolehkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Perak tidak boleh disentuh semasa ceramah kempen pilihan raya yang bermula kelmarin.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir malam tadi berkata, BN akan akur dengan arahan polis yang melarang mana-mana pihak termasuk calon mengeluarkan sebarang kenyataan atau katakata yang bersifat menghasut semasa berkempen pada pilihan raya kecil.

Jelas Zambry, BN akan terus mendekati rakyat secara mesra dalam kempen meraih sokongan pengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Beliau yang ditemui selepas majlis makan malam anjuran MCA di Sg. Kerang, Trong dan jamuan makan malam bersama rakyat anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di Simpang dekat ini malam tadi berkata, rakyat akan bijak menilai dengan lebih waras kerajaan mana yang lebih mementingkan keamanan dan kestabilan apabila melihat kepada suasana permainan politik pihak pembangkang.

Kecuali isu Sultan Perak, kes Altantuya telah menjadi antara bahan utama dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain