suria

Pilihan raya kecil: Jumlah calon tanding kekal

TAIPING:Tiada calon yang tarik diri dan jumlah yang bertanding ketiga-tiga pilihan raya kecil serentak kekal 20 orang termasuk seramai 15 di Bukit Selambau.

Bukit Selambau menyaksikan paling ramai bertanding, sejarah dalam pilihan raya negara ini.

Tiga orang merebut kerusi Parlimen Bukit Gantang dan dua lagi bersaing di DUN Batang Ai.

Kertas-kertas undi dicetak hari ini di Ipoh, Alor Setar dan Kuching.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga tengah malam tadi iaitu tempoh akhir tarik diri berakhir, tiada calon yang menarik diri.

"Jumlah calon bertanding kekal, tiada yang menarik diri," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Proses penamaan calon diadakan pada Ahad lalu dan SPR memberi tempoh selama tiga hari bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menarik diri berbuat demikian.

Wan Ahmad berkata, kertas undi yang dicetak akan diserahkan esok.

Mengenai format kertas undi kerusi Bukit Selambau, Wan Ahmad memberitahu, pihaknya menggunakan satu helaian dengan tiga jalur bagi membolehkan kesemua 15 nama dipamerkan.

Setiap jalur terdiri daripada 15 nama mengikut nombor calon dari kiri ke kanan.

Dalam pada itu, Pegawai Pengurus pilihan raya kecil Bukit Selambau, Datuk Abdullah Mat Akhir pagi ini mengesahkan bahawa "tiada seorang pun yang menarik diri sehingga tempoh untuk berbuat demikian tamat pukul 12 tengah malam tadi."

"Sehingga 12 malam tadi, tidak ada seorang pun calon yang memohon untuk menarik diri.

"Ini bermakna kesemua 15 calon sah akan bertanding pada pilihan raya kecil itu 7 April ini," katanya kepada mStar Online.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau mencatat sejarah dalam rekod pilihan raya negara kerana membabitkan jumlah calon bertanding yang paling ramai.

Selain calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Datuk S. Ganesan, 50, daripada MIC dan S. Manikumar, 35, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), seramai 13 calon Bebas turut mencuba nasib mereka untuk merebut kerusi itu.

Calon-calon Bebas tersebut adalah R. Loganathan, 43, yang akan menggunakan simbol kelapa sawit, Tan Hock Huat, 46 (kunci), Radzi Md Lazim, 32 (kerusi), Mohd Fazil Abdul Wahab, 38 (kepala harimau), Abdul Rahim Abu, 49 (jam loceng), L. Sarala, 34 (basikal), A. Jayagopal, 57 (payung), S. Moganakumar, 43 (buku), Khamis Awang, 57 (ayam jantan), Husaini Yaacob, 44 (bas), M. Vaneson, 34, (ikan), Anuar Abdul Hamid, 58, (telefon) dan T. Chandrarajah, 40, (kapal terbang).

Kerusi Bukit Gantang disaingi oleh calon BN, Ismail Saffian; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Kamarul Ramizu Idris (Bebas).

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai 7 April ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain