suria

Permohonan Sivakumar ditangguh 9 April ini

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan kepada Rabu ini untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar untuk menggugurkan saman terhadapnya yang difailkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menetapkan tarikh itu untuk memberikan masa yang mencukupi kepada peguam yang mewakili Dr Zambry untuk memberikan jawapan balas kepada afidavit baru yang difailkan oleh Sivakumar semalam.

Firoz Hussien Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Dr Zambry, semasa ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata Dr Zambry hanya menerima afidavit baru itu lewat petang semalam dan pasukannya memerlukan masa untuk memberikan jawapan kepada isu baru yang dibangkitkan.

Katanya isu baru itu membabitkan mesyuarat yang diadakan di bawah pokok yang para defendan dakwa adalah persidangan Dewan Undangan Negeri.

Dalam saman yang difailkan pada 2 Mac, Dr Zambry dan enam Exco kerajaan negeri memohon diisytiharkan keputusan Speaker yang menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri adalah batal dan tidak sah.

Sivakumar, dalam tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, telah menggantung ketujuhtujuh mereka selama 12 hingga 18 bulan pada 18 Februari.

Firoz Hussien berkata isu itu bukannya isu rumit dan mereka perlukan satu atau dua hari untuk memfailkan jawapan kerana mereka telahpun menyatakan pandangan mereka mengenai persidangan bawah pokok itu sebagai tidak mengikut perlembagaan dan menegaskan ia bukannya persidangan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai permohonan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam prosiding itu, Firoz Hussien berkata Wan Afrah membenarkan permohonan itu atas asas Peguam negara ialah pelindung kepentingan awam.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu pemberita yang beliau turut memohon penangguhan dan memberitahu hakim bahawa mungkin terdapat sesuatu yang salah dalam afidavit yang difailkan oleh peguam yang mewakili Sivakumar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain