suria

Nik Aziz mahu kerjasama lebih erat

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap Kelantan dapat menjalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan pusat apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri kelak.

Malahan, Mursyidul Am Pas itu menaruh harapan satu perubahan positif akan berlaku dengan kerajaan negeri Kelantan tidak lagi dianaktirikan oleh kerajaan persekutuan sehingga wujudnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

"Saya tidak mahu Kelantan terus dianaktirikan (oleh kerajaan persekutuan) seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Pengkalan Chepa, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka untuk melantik Najib sebagai penggantinya.

Najib dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara esok.

Nik Abdul Aziz berkata beliau masih belum dapat menerima tujuan kewujudan JPP di Kelantan sejak PAS mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 1990.

Sementara itu, Nik Aziz berkata secara peribadi, beliau mempunyai beberapa kenangan manis sepanjang Abdullah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Katanya Abdullah dan Najib turut melawat beliau semasa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu.

"Terima kasih banyak-banyak, Perdana Menteri baru (diharapkan) dapat bawa perubahan bukan saja kepada negeri ini, tetapi seluruh negara," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain