suria

Faktor Mahathir, kepimpinan baru memihak BN?

TAIPING: Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berasingan pagi ini berhubung isu peralihan kuasa kerajaan pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mempengerusikan mesyuarat Umno dan Barisan Nasional (BN) Bukit Gantang di Kamalodge dekat ini.

Hasil mesyuarat dua jam itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muyhiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) yakin kepimpinan baru diterajui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keeenam esok, akan membantu BN mencapai kemenangan pilihan raya kecil serentak kali ini.

Pengundian tiga pilihan raya kecil serentak berlangsung 7 April.

Di peringkat Perak, Muhyiddin yang kini mengetuai BN menghadapi cabaran ketiga-tiga pilihan raya kecil ini berkata, masyarakat umum khususnya para pengundi sudah mula menerima perubahan kepimpinan negara.

Ia dijangka memainkan peranan penting di samping penjelasan-penjelasan yang diberikan untuk menerangkan krisis politik semasa di Perak.

Umno Perak tidak melihat perkembangan di Perak buat masa sekarang sebagai krisis politik, sebaliknya hanya disifatkan sebagai "krisis kefahaman tentang Perlembagaan Negeri dan krisis budaya taat setia kepada raja sudah terhakis."

Di sebalik perkembangan itu, perubahan politik di peringkat kebangsaan dijangka membawa kelebihan kepada BN dalam menghadapi tiga pilihan raya kecil ini.

"Di samping itu, mungkin harapan baru di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak) iaitu amat berkesan sekali, mereka sudah lihat, insya-Allah kita akan mendapat seorang Perdana Menteri baru, satu harapan barisan saf Kabinet yang baru, satu harapan baru.

"Jadi ini dirasakan oleh semua... jadi bagi saya ini, satu petanda yang amat menggalakkan... sebab itu mereka melihat ada kewajaran untuk balik semula (memberikan sokongan), memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional," kata beliau yang juga Timbalan Presiden Umno ketika ditemui di sini.

Ketika ditanya sama ada perubahan barisan kepimpinan akan membawa aliran sokongan menguntungkan BN, Muhydiddin yakin dengan situasi tersebut.

"Ini kerana mereka melihat pemimpin kita, bakal Perdana Menteri kita yang berwibawa, yang sudah mengeluarkan beberapa pandangan tentang harapan baru Malaysia, konsep satu Malaysia yang diperkenalkan.

"Dengan lantikan Najib sebagai Perdana Menteri, satu perubahan dan pembaharuan akan berlaku," katanya lagi.

Selaku Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin memantau keseluruhan pilihan raya kecil kali ini dengan dibantu oleh ketiga-tiga Naib Presiden di peringkat kerusi dipertandingkan. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bukit Gantang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Bukit Selambau) dan Datuk Seri Shafie Apdal di Batang Ai.

Di peringkat Bukit Gantang, Muhyiddin mengakui bahawa sudah ada perubahan dalam arah aliran sokongan berdasarkan laporan yang diterima.

Pun begitu, jelas beliau, jentera pilihan raya perlu kerja keras untuk menarik sokongan para pemilih.

Di samping faktor perubahan kepimpinan, kesediaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu calon BN dengan berkempen di kawasan Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada Isnin ini juga dijangka membawa kelebihan kepada BN.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin dan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar juga mengesahkan kehadiran Dr. Mahathir.

"Mahathir sendiri menawarkan diri untuk membantu calon BN... sebenarnya kami tidak mengundang, beliau sendiri yang mahu membantu... mungkin merasakan perlu untuk mempertahankan negara yang beliau bina," kata Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu.

Ini kali pertama Dr. Mahathir membantu BN berkempen dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini - Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - yang diadakan selepas Dr. Mahathir keluar Umno, beliau tidak membantu berkempen. Ketika itu beliau berada di luar Umno.

Malah Dr. Mahathir juga pernah mengkritik pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu. Ia dilihat sebagai salah satu faktor yang membawa kepada kekalahan BN.

Dr. Mahathir juga hadir pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu.

Kira-kira empat bulan selepas keluar Umno, Dr. Mahathir menyatakan kesediaan untuk kembali sertai parti itu.

Hamdi ketika ditemui menambah, kehadiran Tun Mahathir sudah tentu akan kelebihan untuk menarik pengundi-pengundi kepada BN.

Kesediaan Dr. Mahathir untuk datang membantu menunjukkan satu pengiktirafan, kata beliau sambil menolak andaian bahawa "Dr. Mahathir tidak dieksploitasikan."

"Tun adalah seorang negarawan," kata beliau sambil menambah, faktor Dr. Mahathir memainkan peranan penting dengan "melihat pada gambaran yang lebih besar."

Katanya lagi: "(Calon PAS, Datuk Seri Mohammad), Nizar (Jamaluddin) berjuang kerana persepsi... BN berjuang untuk gambaran lebih besar demi kepentingan negara."

mStar Online ketika berada di Changkat Jering - salah satu DUN dalam bahagian Bukit Gantang, dua minggu lalu mendapati sebahagian pemilih tempatan berpegang kepada kenyataanya bahawa tindakan BN mengambil alih kerajaan negeri tidak mengikut lunas perundangan.

Justeru, pandangan itu dilihat telah mempengaruhi sebahagian pengundi untuk terus memihak kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat.

Kini Dr. Mahathir sendiri akan turun padang. Apakah ia akan membantu arah aliran sokongan dengan memihak kepada BN?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain