suria

Shahrir hantar surat letak jawatan Kabinet

PUTRAJAYA: Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkuatkusa 8 April kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengesahkan menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada mesyuarat Kabinet di sini yang dipengerusikan Abdullah.

Shahrir berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Perdana Putra di sini selepas menghadiri mesyuarat itu.

Khamis lepas Shahrir mengumumkan mahu meletak jawatan setelah beliau gagal mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lepas.

Kemudiannya, pada sidang akhbar di pejabatnya, Menteri itu berkata mesyuarat Kabinet turut membincangkan surat peletakkan jawatannya itu.

Kesimpulannya, katanya, semua sebulat suara bersetuju pada prinsipnya para anggota Kabinet sedia ada berada di dalam Kabinet sehingga pengumuman barisan Kabinet baru kelak.

Shahrir mengulangi pendiriannya meletakkan jawatan Kabinet setelah gagal mempertahankan jawatan anggota MT berdasarkan prinsip beliau tidak lagi mewakili (sokongan besar) parti.

Ditanya sama tindakannya itu merupakan langkah awal sebelum digugurkan daripada barisan Kabinet kelak, beliau berkata: "Itu semua cuma spekulasi...itu semua tak betul".

Beliau juga menolak terdapat elemen merajuk dalam keputusannya itu kerana beliau pernah digugurkan daripada Kabinet walaupun memenangi kerusi MT pada pemilihan Umno 1987.

Ditanya mengenai sebab kekalahannya dalam pemilihan parti, Shahrir berkata sebab kekalahan tidak penting kerana yang penting adalah keputusan parti berdasarkan sistem pemilihan yang ada.

Katanya beliau berpuas hati dapat berkhidmat membantu menyelesaikan masalah rakyat sebagai pengguna sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri dan masih boleh memainkan pelbagai peranan sebagai anggota Parlimen Johor Baharu. BERNAMA

Artikel Lain