suria

Kesan gigitan Tian Chua pada lengan konstabel kuat - saksi

KUALA LUMPUR: Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nurzilawati Ahmad memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa gigitan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pada lengan seorang konstabel boleh diibaratkan seperti gigitan pada sebatang tebu.

Nurzilawati, saksi pendakwaan kelapan dan terakhir itu berkata demikian beliau disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria.

"Jika kita menggunakan contoh yang paling senang iaitu antara makan ayam KFC dengan gigit tebu, yang mana lebih menggunakan kekuatan?," tanya Hanafiah.

"Menggigit tebu lebih menggunakan kekuatan gigi," jelas Nurzilawati.

Tian Chua, 46, didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar pada kira-kira pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini.

Tian Chua, Anggota Parlimen Batu, didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Nurzilawati, 35, menjelaskan beliau telah merawat Rosyaidi pada pukul 11.53 pagi, 11 Dis, 2007 dan memberitahu kesan gigitan itu berukuran 4x4 sm tetapi lebamnya kurang jelas.

Katanya, dua faktor yang mungkin menyebabkan tiada kesan gigitan yang dapat dilihat ialah tempoh antara kejadian yang berlaku ketika itu dengan mangsa mendapat rawatan dan juga lengan mangsa dilapik dengan baju.

Sementara itu, pihak pendakwaan menutup kes selepas saksi terakhirnya itu selesai memberi keterangan hari ini.

Majistret Mohd Faizi Che Abu menetapkan 24 April ini untuk pihak pembelaan dan pendakwaan membuat penggulungan hujah masing-masing. BERNAMA

Artikel Lain