Abdullah sampai amanat kepada Kabinet - Semasa | mStar

Abdullah sampai amanat kepada Kabinet

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan beberapa amanat penting serta perkara yang harus diteruskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri selepas ini semasa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, demikian menurut beberapa menteri hari ini.

Beberapa Menteri yang ditemui selepas mesyuarat mingguan itu berkata Najib selaku Timbalan Perdana Menteri mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Abdullah atas sumbangan besarnya kepada negara.

Jemaah Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Abdullah yang memberi ruang dan peluang bagi mereka untuk berkhidmat bersama beliau dalam kerajaan.

Pada Sabtu lepas, Najib mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah yang tidak mempertahankan jawatan tertinggi parti itu, sekaligus memberi laluan kepada Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Secara tradisi, Presiden Umno selaku pemimpin parti komponen terbesar dalam kerajaan Barisan Nasional memegang jawatan Perdana Menteri negara ini.

Abdullah dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin esok bagi memaklumkan hasrat beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas menerajui negara selama lebih lima tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana tenang dengan anggota jemaah menteri terharu mendengar amanat Abdullah.

Beliau berkata semasa mesyuarat itu, Abdullah menekankan perkara yang harus dilakukan oleh jemaah Menteri, terutama mengenai tanggungjawab bersama yang harus dipikul semua menteri.

"Dasar-dasar yang sudah diputuskan, sebagai kerajaan kita teruskan. Walaupun begitu, Najib tentu akan membuat pengubahsuaian atau mana-mana yang perlu dilakukan, itu terserah kepada Perdana Menteri," katanya.

"Perdana Menteri menyatakan beliau bersedia untuk memberi pandangan jika diperlukan," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Katanya Jemaah Menteri mendoakan kesejahteraan Abdullah dan isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah manakala sumbangan dan jasa Perdana Menteri kepada kerajaan akan direkodkan sebagai sumbangan besar kepada negara.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Abdullah sangat tenang menunjukkan imannya yang kuat sehingga membuatkan anggota Jemaah Menteri pula berasa terharu.

"Sememangnya apa yang beliau nasihatkan kepada anggota kabinet tadi menggambarkan seorang pemimpin yang mengharapkan yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata antara amanat Abdullah adalah supaya apaapa keputusan yang dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri sebelum ini diberi kesinambungan.

Beliau berkata segala perubahan yang dilakukan Abdullah terutamanya penubuhan beberapa badan yang diinisiatifkannya amat dihargai dan menjadi tanggungjawab Kabinet untuk melaksanakannya.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Abdullah memberi jaminan untuk terus membantu dan memberi sokongan kepada kerajaan dan parti.

"Dan saya cukup berbangga mempunyai seorang pemimpin yang terus menunjukkan kekuatannya dalam kepimpinan sehingga saat yang terakhir demi memberi kekuatan kepada kerajaan yang akan dipimpin oleh Datuk Seri Najib," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata Abdullah dengan penuh tenang mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini dan beliau menjalankan tugas seperti biasa termasuk semua kerja-kerja urusan kerajaan dibereskannya.

"Abdullah turut menyatakan penghargaan kepada kami semua atas sokongan dan kerjasama yang diberikan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.