suria

Peguam ditahan selepas ingkar arahan bersurai - Mahkamah

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Subang K.Sivarasa serta tujuh orang lagi yang menyertai perhimpunan haram "People's Freedom Walk" pada 7 Disember 2007 ditahan selepas mereka enggan bersurai walaupun diarahkan berbuat demikian oleh polis,

Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini. Saksi ke-11 pendakwaan DSP Rotzarn Rashid dalam keterangannya berkata semua tertuduh bukan sahaja enggan bersurai, malah mereka tetap meneruskan perarakan itu sehingga ke bangunan Majlis Peguam di jalan Lebuh Pasar Besar di sini.

Sivarasa yang juga seorang peguam dituduh bersama tiga peguam lain iaitu Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan N. Surendran serta empat aktivis Eric Paulsen, Johny Andu @ Abu Bakar Adnan, Nooraza Othman dan Ashraf Ali Sadakathullah, menyertai perhimpunan haram itu di hadapan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara 8.10 pagi dan 8.50 pagi, 9 Disember 2007, dan gagal mematuhi arahan polis untuk bersurai.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Sementara itu saksi ke-12 pendakwaan ASP Nasri Mansor memberitahu mahkamah bahawa perarakan "People's Freedom Walk" itu bukan dianjurkan oleh Majlis Peguam.

"Padanya mulanya memang ia dianjurkan oleh Majlis Peguam namun pada 5 Disember 2007 presidennya mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan dan perarakan yang sepatutnya didakan pada 9 Disember 2007 itu dibatalkan," katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Raja Rozela Raja Toran.

Perbicaraan di hadapan hakim S.M.Komathy Suppiah bersambung 10 April ini. BERNAMA

Artikel Lain