suria

Lelaki samun pajak gadai di Langkawi

LANGKAWI: Dalam kejadian yang jarang berlaku di Langkawi, seorang lelaki merompak kedai pajak gadai di Pekan Kuah dan melarikan sejumlah barangan kemas.

Lelaki berumur antara 20 dan 40 tahun itu yang memakai topi keledar menyerbu kedai tersebut kira-kira 11.35 pagi dan menggunakan tukul besi yang dibawanya untuk memecahkan cermin pameran barangan kemas di kedai itu.

"Dalam sekelip mata, lelaki itu mengetuk cermin pameran barang kemas dengan penukul, mengaut barang kemas yang tidak diketahui nilainya lalu melarikan diri dengan motosikal," kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Ishak Hasan.

Beliau berkata polis sedang memburu lelaki terbabit sebaik menerima laporan daripada pemilik kedai berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian ragut di sekitar Langkawi.

Ishak berkata polis menemui tiga telefon bimbit dan wang tunai lebih RM100 daripada lelaki itu selepas menahannya di tempat meletak motosikal di sebuah pasa raya di Kelibang semalam. BERNAMA

Artikel Lain