suria

Kempen pilihan raya kecil dilarang sentuh kes Altantuya, Sultan Azlan

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan kementeriannya telah mengeluarkan arahan kepada polis supaya parti-parti yang bertanding dalam ketiga-tiga pilihan raya kecil tidak menyentuh kes pembunuhan Altantuya dan keputusan Sultan Perak.

"Dua isu tersebut terkandung dalam salah satu syarat berkempen sepanjang pilihan raya, malah selepas pilihan raya juga rakyat di negara ini wajar mengikutinya kerana perkara ini termaktub dalam perlembagaan.

“Ini bukan perkara baru. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan pihak polis supaya memberi amaran dan mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya jangan sentuh isu-isu sensitif sebegitu," katanya kepada mStar Online hari ini.

Terdahulu di Bukit Gantang, Timbalan Pengerusi PKR, Chan Lih Kang memberitahu bahawa Polis Taiping mengeluarkan syarat tambahan permit kempen berkuat kuasa semalam.

Syarat baru itu dinyatakan sebagai perkara 3.5 dan 3.6.

Syarat 3,5 mengatakan bahawa penceramah tidak boleh menghasut serta mempersoal keputusan yang dibuat oleh Institusi Raja manakala syarat 3.6 pula berkata "tidak boleh sentuh isu Altantuya, isu perkauman dan isu keagamaan".

Dalam pada itu, syarat 3.7 pula berkata, "kehadiran orang ramai adalah tanggungjawab pihak penganjur untuk mengawal mereka, jika kehadiran melimpah hingga di luar kawasan permit yang dipohon, pihak polis akan mengambil tindakan".

Polis mengeluarkan permit berkempen di bawah Akta Polis dan berhak mengenakan syarat berkaitan tempoh kempen dan sebagainya.

Kempen ketiga-tiga pilihan raya kecil serentak ini bermula kelmarin.

Jelas Syed Hamid, parti-parti bertanding perlu mematuhi arahan tersebut.

"Ini kerana mereka yang menghina Sultan turut didakwa di bawah Akta Hasutan baru-baru ini,” katanya.

Tegas beliau, KDN terpaksa bertindak sedemikian kerana pihak pembangkang didapati menggunakan dua isu terbabit untuk sepanjang tempoh berkempen.

"Mereka (pembangkang) dengan sengaja menggunakan isu ini. Mahu meraih simpati.

"Mereka selalu langgar tataetika sepanjang berkempen. Contohnya di Perak, macam yang kita tahu mana ada isu rampasan kuasa yang mereka maksudkan.

"Banyak yang retorik dalam ceramah mereka," kata.

Tambah beliau, kedua-dua isu terbabit merupakan kes mahkamah dan ia tidak boleh disentuh kerana ia akan bersifat subjudis.

Ditanya bila larangan tersebut mula dikeluarkan Syed Hamid berkata:

"Ia sepatutnya bermula sejak hari pertama kempen lagi. Kita telah keluarkan arahan dan ia perlu dipatuhi sebelum dan selepas pilihan raya.

"Pihak polis juga telah dimaklumkan untuk memberi amaran kepada semua parti yang bertanding... itu sahaja.”

Kes bunuh Altantuya bermula 2006 dan ia masih berlarutan manakala beberapa kes saman menyentuh krisis politik termasuk yang mempertikaikan pelantikan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, menerajui Barisan Nasional, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat, juga sedang dibicarakan.

Baru-baru ini lapan pengunjung laman blog telah dihadapkan ke mahkamah behubung perbuatan menghantar komen yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ekoran krisis politik yang berlaku di negeri itu.

Artikel Lain