suria

Wanita diperintah bela diri terhadap tuduhan asal edar dadah

PUTRAJAYA: Nasib tidak menyebelahi seorang ibu kepada dua anak yang dijangka akan dibebaskan daripada penjara dalam masa empat tahun lagi apabila Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan supaya dia membela diri terhadap pertuduhan asal mengedar dadah.

Hakim tiga panel terdiri daripada Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk menghantar semula kes itu ke Mahkamah Tinggi Kota Baharu bagi Rosmawati Che Ngah membela diri.

Panel itu kemudiannya mengarahkan supaya kes Rosmawati itu disebut di Mahkamah Tinggi Kota Bahru pada 5 April ini untuk menetapkan tarikh bicara.

Rosmawati dituduh mengedar kanabis di hadapan Bank Pertanian Machang, Kelantan, pada pukul 12.15 tengah hari, pada 31 Jan 2003.

Dalam keputusannya itu, Raus berkata berdasarkan kepada keterangan mengenai tingkah laku wanita itu yang telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi, Rosmawati mempunyai kawalan terhadap dadah itu, yang dijumpai di dalam beg yang disandangnya itu.

Raus berkata Rosmawati perlu menjelaskan kepada mahkamah mengenai kelakuannya yang dikatakan cuba melarikan diri dengan memusingkan badannya serta keadaan gelisahnya sewaktu polis membuka begnya dihadapannya itu dan adalah bukan untuk mahkamah memberi penjelasan berpihak kepadanya (Rosmawati).

Dalam keterangan, Rosmawati juga dikatakan telah mendiamkan diri sambil menunduk kepalanya semasa polis bertanyakannya mengenai kandungan di dalam begnya itu.

Panel itu memutuskan bahawa prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Parlan bin Dadeh v PP(2008) MLJ 19 terpakai dalam kes Rosmawati.

Prinsip di dalam kes Parlan Dadeh itu menyatakan bahawa seseorang tertuduh perlu memberi penjelasan jika wujudnya dalam keterangan mengenai tingkah lakunya seperti berasa gelisah, takut atau tergamam kerana tingkah laku sedemikian semasa kejadian "biasanya satu perkara mengenai persepsi dan lebih banyak bukti terperinci mungkin diperlukan.

Pada 16 Jan, 2005, Mahkamah Tinggi Kota Baharu telah meminda pertuduhan asal itu iaitu daripada mengedar kanabis seberat 865.8 gram kepada memiliki dadah itu tanpa memerintahkan penjual buah itu (Rosmawati) membela diri di akhir kes pendakwaan.

Rosmawati kemudiannya mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu 31 Jan 2003. Dia dijangka keluar daripada penjara pada tahun 2013.

Mahkamah Tinggi ketika meminda pertuduhan itu berpendapat tindakan Rosmawati yang cuba melarikan diri dengan memusingkan badannya secara spontan adalah suatu reaksi biasa bagi seseorang perempuan dalam keadaan sedemikian, lebih-lebih lagi kerana anggotaanggota polis yang menahannya tidak berpakaian uniform.

Mahkamah Tinggi itu juga memutuskan bahawa Rosmawati tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah itu kerana ketulan mampat itu terkandung dalam plastik hitam dan keterangan juga menunjukkan tidak ada sebarang bau dadah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin manakala Rosmawati diwakili peguambela Ahmad Nizam Mohamed. BERNAMA

Artikel Lain