suria

Dua beranak cedera ditembak dalam kejadian samun

KUALA LUMPUR: Dua beranak cedera ditembak dalam kejadian samun di Jalan Dagang 1/1, Ampang apabila dua lelaki menyerbu masuk ke rumah mereka yang ketika itu tidak berkunci.

Mohamad Mahadi, 27, cedera di rusuk kiri manakala bapanya yang hanya dikenali sebagai Mahadi berusia dalam lingkungan 60an cedera di paha.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Ampang dan dilapor dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Polis Ampang Supt Amiruddin Jamaluddin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam ketika Mohamad bersama isteri dan kedua ibu bapanya bersembang di ruang tamu rumah itu dengan pintu rumah dan pagar terbuka.

"Dua lelaki berusia dalam lingkungan 20an dan 60an yang memakai topeng muka memasuki rumah itu dan seorang daripadanya mengacukan pistol automatik mengugut mangsa supaya menyerahkan kunci BMW yang diletakkan di luar pagar rumah," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, berliau berkata selepas mendapat kunci BMW, lelaki berkenaan mengarahkan Mohamad menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat roda yang dipakir di halaman rumah teres tiga tingkat itu.

"Ketika isteri Mohamad naik ke tingkat atas rumah untuk mengambil kunci CRV, Mohamad bergelut dengan seorang daripada lelaki itu, menyebabkan suspek yang berusia 20an melepaskan tiga das tembakan yang mengenai Mohamad dan bapanya," katanya.

Amiruddin berkata bunyi bising daripada rumah mangsa menyebabkan jiran keluarga itu keluar dan melihatkan keadaan itu, kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri.

"Suspek sebelum itu sempat mencampakkan kunci BMW dan telefon bimbit yang diambil daripada mangsa," katanya yang mengesahkan kedua-dua lelaki itu tidak berkenderan. BERNAMA

Artikel Lain