suria

Bukan cara BN kempen tuduh-menuduh - Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) tidak dapat menerima cara pembangkang mengamalkan politik tuduh-menuduh terhadap pemimpin kerajaan semasa berkempen pada pilihan raya.

"Itu cara pembangkang. Kita memang tak setuju langsung dengan kempen cara itu.

"Tuduh menuduh dalam politik akan berlaku walaupun kita tak suka," katanya selepas melancarkan projek Puncak Baru sempena pembangunan semula tapak Pasar Minggu Kampung Baru di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata apa yang penting ialah BN perlu membuktikan keikhlasan dan kesungguhan untuk membangunkan negara demi rakyat.

Ditanya situasi berkempen yang hanya melihat pembangkang yang menyerang pemimpin kerajaan tetapi pemimpin kerajaan tidak berbuat sedemikian, Abdullah berkata itu bererti bahawa pemimpin kerajaan terdiri daripada orang yang baik.

"Rakyat akan tahulah...Yang ini suka mengata, yang ini cakap pasal nak membangun...takkan rakyat tak faham," katanya.

Mengenai kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa Umno adalah pihak yang mula-mula memperjuangkan kemerdekaan, beliau berkata perkara itu adalah benar.

"Yang mula tuntut untuk mendapatkan kemerdekaan di bawah Datuk Onn (Jaafar) memang betul orang Melayu.

"Yang keduanya apabila (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman (Putra AlHaj) mengambil alih, wujudlah Perikatan iaitu Umno, MCA dan MIC, dan inilah gabungan tiga parti yang mewakili orang Melayu, Cina dan India," katanya.

Beliau berkata perjuangan itu akhirnya membawa kepada kemerdekaan.

Abdullah berkata kerajaan kini juga mengekalkan pendekatan ini dengan membawa muafakat rakyat dalam parti masing-masing selain kerajaan yang membuat keputusan berdasarkan kesepakatan dalam mesyuarat kabinet. BERNAMA

Artikel Lain