suria

Pengurusan Harakah kemuka rayuan kepada KDN

TAIPING: Pengurusan Harakah telah mengemukakan rayuan agar Kementerian Dalam Negeri membatalkan penggantungan selama tiga bulan ke atas organ PAS itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan sehari selepas kerajaan menggantung akhbar dua kali seminggu itu.

"Kami telah membuat rayuan dengan segera, pada hari keesokan selepas dimaklumkan tentang penggantungan selama tiga bulan," kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir sesi penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang pagi ini yang ditandingi calon PAS dan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin iaitu bekas Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak menggariskan apa-apa perkara asas dalam rayuan itu.

"Surat yang kami terima pun tidak menyatakan alasan penggantungan...hanya kenyataan mereka menyebut Harakah memutarbelitkan fakta.

"Fakta ialah fakta tidak timbul soal diputarbelitkan. Ia bergantung bagaimana kamu membuat tafsiran," katanya.

Ketika ditanya harapan keputusan ke atas rayuan, beliau berkata, "kami berharap tetapi tidak tahu bila akan diketahui."

Berhubung soalan sama ada akan menerbitkan Harakah sementara rayuan diteliti, Kamaruddin berkata, pihaknya akan berusaha untuk terus menyalurkan maklumat kepada sejuta ahlinya buat masa sekarang ketika berlakunya isu-isu penting iaitu pilihan raya kecil dan peralihan kuasa.

Artikel Lain