suria

Kematian dua doktor pakar diklasifikasikan mati mengejut

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan punca kematian dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Putri yang mayat mereka ditemui di Bukit Tabuh, dekat Ampang semalam sebagai mati mengejut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamiluddin berkata hasil laporan bedah siasat oleh Hospital Kuala Lumpur semalam mendapati Allahyarham Dr Haliza Mohd Shafie dan Allahyarham Dr Amin Tai Abdullah mengalami kecederaan berganda akibat terjatuh daripada ketinggian kira-kira 180 hingga 200 meter.

Beliau berkata keduadua mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan leher serta terdapat kesan luka di beberapa bahagian anggota badan yang lain.

"Kedua-dua mereka dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Semalam, mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di Bukit Tabuh, Taman Melawati dekat Ampang di sini selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu. Mayat keduadua mangsa ditemui pada pukul 2.15 petang semalam, kira-kira enam meter antara satu sama lain.

Allahyarham Dr Haliza dan Dr Amin yang gemar mendaki bukit dipercayai pergi ke bukit tersebut untuk melakukan latihan pendakian sebelum melakukan aktiviti sebenar yang dijadualkan tiga minggu lagi. BERNAMA

Artikel Lain