suria

Najib pelawa Abdullah dan Dr Mahathir berbincang

BINCANG...Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu berbincang dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
BINCANG...Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu berbincang dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
BINCANG...Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu berbincang dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempelawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan masa depan parti dan negara.

"Saya ada satu harapan untuk sama-sama dengan dua negarawan ini, bersama-sama membincangkan tentang masalah dan masa depan parti serta negara. Walaupun mungkin pertemuan pertama agak kekok sikit agaknya tetapi lamakelamaan kemesraan akan terjalin," katanya dalam ucapan menerima jawatan sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno di sini, hari ini.

Najib yang mengalu-alukan dan berbangga dengan kedatangan Dr Mahathir pada hari terakhir persidangan itu percaya bahawa "darah yang mengalir di dalam tubuh tokoh politik itu adalah darah Umno."

"Saya cuba mentafsirkan kehadirannya, tetapi saya percaya apa jua di dalam hati kecil beliau, darah beliau adalah darah Umno," katanya.

Pada 19 Mei tahun lepas, Dr Mahathir dalam satu ceramah di Alor Star mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.

Najib berkata apa yang penting bukan perasaan diri tetapi masa depan Umno dan negara.

"Kalau pemimpin seperti negarawannegarawan ini menunjukkan teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan, di bawah ini (perwakilan) boleh ikut bersama dan akan terus dapat inspirasi daripada isyarat negarawan kita," katanya.

Beliau berkata dengan adanya kerjasama daripada Abdullah dan Dr Mahathir yang mendukung perjuangan parti, barisan kepimpinan baru akan mampu menghadapi banyak cabaran yang mendatang.

"Kita akan menghadapi banyak cabaran, tetapi kalau pemimpin, negarawan kita bersamasama mendukung perjuangan kita, samasama melahirkan idea, sama-sama tidak kritik secara terbuka tetapi berfikir secara baik, secara dalaman, kerana parti inilah yang pernah berjasa kepada kita," katanya.

Najib berkata sudah sampai masanya para pemimpin dan anggota akar umbi terus setia kepada parti walaupun sudah bersara kerana jasa parti yang begitu besar kepada mereka.

"Semboyan telah dibunyikan, bingkaslah bangun, kibarkan panji-panji perjuangan Umno membela demi untuk nasib Malaysia, teruskan perjuangan kita, Umno akan diperkasa, didaulatkan. Insya-Allah akan berjaya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain