suria

Tarikh serah jawatan PM: Akan diberitahu, kata Pak Lah

KUALA LUMPUR: Teka-teki tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri berterusan dengan petang ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hanya akan memaklumkannya "apabila tiba masa yang sesuai."

"Saya akan memberitahu bila nak beritahu," kata beliau yang beberapa kali ditanya mengenainya pada sidang akhbar di hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2008 di sini sebentar tadi.

Difahamkan beliau akan membuat pengumuman tentang tarikh penting itu esok.

Abdullah dijadual membuat ucapan penggulungan ucapan Dasar Presiden tengah hari esok.

Pada Selasa lalu Abdullah yang juga Presiden Umno meminta mana-mana pihak "jangan mengganggu" beliau dengan mendesak mengumumkan tarik serah jawatan Perdana Menteri.

Semalam dalam ucapan Dasar Presidennya, Abdullah berkata, beliau akan memberi sokongan padu kepada Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najid Tun Razak yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Difahamkan Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir Rabu depan.

Ketika ditanya mengenai hasrat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang mahu meletakkan jawatan Kabinet, Abdullah memberitahu, tiada siapa yang paksa beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun kata beliau, Shahrir telah menyatakan sebab-sebab mengambil keputusan tersebut.

Mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa semua menteri-menteri di bawah pimpinan Abdullah secara teknikalnya turut dianggap meletak jawatan selepas beliau (Abdullah) meletak jawatan, Abdullah berkata:

"Masa zaman saya dulu pun (Tan Sri) Lim Keng Yaik (bekas menteri kabinet) pun kata begitu juga, tapi tak jadi apa pun, bukan boleh paksa."

Artikel Lain