suria

Jangan beri pembangkang peluang eksploitasi isu, kata Ong

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju akan perlunya hubungan antara parti komponen itu yang sudah lama terjalin dimantapkan lagi, selain tidak memberi peluang kepada pembangkang untuk mengeksploitasi isu-isu tertentu bagi melemahkan BN.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata BN mesti mengambil kira setiap kekuatan dan kelemahannya dalam mentransformasikan diri bagi menghadapi cabaran akan datang sebelum terlambat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan dasar terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

"Kalau kita tak nak parti lawan mengeksploitasi isuisu tertentu, jangan bagi mereka peluang dan ruang untuk berbuat demikian. Apa yang penting ialah semangat setiakawan dan kekitaan antara partiparti BN dan kita patut mantapkan apa yang sudah terjalin," katanya.

Selain itu, Ong berkata BN juga tidak sepatutnya menuding jari pada masyarakat bukan Melayu bahawa mereka tidak memberi sokongan secukupnya pada pilihan raya umum 2008.

"Jangan lupa, masyarakat bukan Melayu berulang kali memberi BN sokongan padu dan jitu seperti pada tahun 1985, 1999, khasnya bila reformasi memuncak dan pada tahun 2004 juga," kata Ong yang juga Menteri Pengangkutan.

Abdullah dalam ucapannya berkata BN perlu mendalami formula yang telah diguna pakai buat sekian lama bagi membolehkan parti komponen berkongsi kuasa mengurus negara dengan jayanya serta menggelak membenarkan parti pembangkang melemahkan kerjasama itu.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut bersetuju dengan saranan Abdullah supaya Umno dan BN berubah bagi memastikan kemenangan dicapai pada pilihan raya akan datang berkata, parti komponen perlu terus berusaha mendapat tempat di hati semua rakyat Malaysia.

"Saya harap selepas musim politik ini kita akan menumpukan segala usaha, tenaga dan masa untuk menjayakan agenda perubahan ini, khasnya dalam keadaan yang begitu payah dengan kemelut ekonomi," katanya.

Menyifatkan ucapan Abdullah sebagai ucapan yang cukup bernas, jelas dan tegas, Dr Koh berkata nasihat Perdana Menteri agar anggota parti tidak bercakaran sesama sendiri turut terpakai kepada semua parti komponen malah perhatian seharusnya ditumpukan kepada isu ekonomi dan kehidupan rakyat.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata gesaan Abdullah bagi anggota parti mengubah sikap adalah tepat pada masanya bagi meraih semula sokongan rakyat dan MIC sendiri akan turut melaksanakan cadangan Perdana Menteri itu.

"Kami mesti menggunakan pendekatan dan strategi baru sekiranya kami mahu kekal relevan," katanya dan turut mengucapkan terima kasih atas khidmat dan sumbangan Abdullah kepada negara dan "memberikan Perdana Menteri yang amat berkebolehan dan dinamik iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak."

"MIC akan memberikan sokongan padu dan tidak berbelahbahagi kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan parti (MIC) akan kekal sebagai rakan yang setia," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Tan Sri Joseph Kurup berkata saranan Abdullah itu amat baik bagi mengembalikan semula kegemilangan BN dan perlu dikaji semula dalam menentukan kepimpinan akan datang terdiri daripada gabungan orang muda dan veteran.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok pula berkata: "Permintaan Abdullah agar kita (BN) perlu tepat kepada perjuangan juga perlu diberi penekanan dan jangan dipandang ringan," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Tan Sri Joseph Kurup berkata setiap pemimpin sepatutnya berubah dan menjadikan tanggungjawab berbakti kepada rakyat sebagai mandat utama.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong berkata Umno dan BN perlu kembali kepada konsep asas kepimpinan untuk meraih semula sokongan dan kepercayaan rakyat.

Katanya, semua pemimpin perlu saling menghormati dan menjalin kerjasama lebih rapat supaya menjadi contoh kepada rakyat dan jauhkan diri daripada amalan rasuah, selain menghormati pandangan dan pendapat pihak lain.

Setiausaha Kerja Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, Umno selaku tunggak BN perlu sentiasa berada dalam keadaan ampuh bagi memastikan ia mampu menangkis sebarang 'serangan' daripada pembangkang.

"Jika Umno lemah dan goyah, komponen BN yang lain akan turut lemah, sekaligus membawa kesan yang buruk kepada negara.

"Kerana itu, jika Umno melakukan transformasi dan perubahan, parti-parti lain perlu meneruskan kesinambungan itu demi menjaga maruah dan kredibiliti negara," katanya. BERNAMA

Artikel Lain