suria

SPRM bebas Fairus selepas disiasat tiga jam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin petang tadi, setelah mengambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan sebuah syarikat kuari di Seberang Perai.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Syukri Abdul berkata Mohammad Fairus dibebaskan pada pukul 4 petang tadi setelah beliau dikesan oleh SPRM di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Johor di Bangunan Sultan Iskandar malam tadi sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Johor, untuk diambil keterangan.

"Rakaman percakapan Mohammad Fairus direkodkan pagi ini dan ia hanya prosedur biasa dalam siasatan dan kenyataannya diambil di Johor Bahru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syukri berkata Mohammad Fairus sedang dalam perjalanan ke Singapura ketika beliau dikesan pegawai Imigresen malam tadi.

"Usaha mengesan beliau dibuat sejak 19 Mac lepas berhubung dakwaan kes itu," katanya.

Pada 27 Februari lepas, Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat pada sidang akhbarnya mendakwa terdapat pemimpin PKR Pulau Pinang menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari di Seberang Perai.

Minggu lepas, SPRM Pulau Pinang telah mengambil keterangan beberapa individu berhubung kes itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Simi Abdul Ghani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan terhadap Mohammad Fairus itu kerana berada di luar Johor.

Ketika mengulas mengenai perkara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada SPRM untuk memjalankan siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain