suria

Polis tunggu laporan Jabatan Patologi kes kematian Noraini

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu keputusan Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat sebarang tangkapan berhubung kes seorang wanita yang meninggal dunia selepas mendapat suntikan ketika menjalani rawatan membuang lemak pada badannya semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata polis masih menunggu laporan daripada jabatan berkenaan bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

"Buat masa ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut," katanya kepada pemberita selepas program derma darah peringkat ibu pejabat polis daerah itu di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan susulan akan dibuat selepas mendapat laporan penuh daripada Jabatan Patologi dalam tempoh tiga minggu. "Jika klinik terbabit didapati bersalah kerana menyebabkan kematian mangsa, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan," katanya.

Noraini Mohd Ghazali, 30, seorang pengarah urusan di sebuah syarikat pembekal peralatan makmal di ibu negara, meninggal dunia di sebuah klinik swasta di Jalan Lima, Ampang, kira-kira pukul 5 petang semalam.

Noraini telah 14 kali melakukan rawatan sedut lemak di klinik itu sejak Disember 2007 dan mangsa termuntah tiga kali selepas disuntik ubat tahan sakit ketika hendak mendapatkan rawatan susulan sebelum disahkan meninggal dunia.

Abdul Jalil berkata polis juga telah mengambil keterangan tujuh individu termasuk doktor yang membuat rawatan terhadap mangsa, jururawat di klinik berkenaan serta kakak angkat Noraini yang menemaninya ke klinik itu.

"Polis juga telah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mengambil tindakan ke atas klinik terbabit jika didapati klinik itu menyalahi undang-undang dalam menjalankan operasinya.

"Bagaimanapun sehingga hari ini, klinik terbabit masih beroperasi seperti biasa," kata Abdul Jalil.

Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan kecantikan agar mendapatkan rawatan di tempat yang diiktiraf atau merujuk kepada pakar yang bertauliah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain